Sunday, September 14, 2014

DI MANA BUMI DIPIJAK - ABU HASSAN MORAD





Assalamualaikum WBT

Di Mana Bumi Di Pijak merupakan buah tangan hasil perjalanan penulis menyelusuri beberapa buah negara yang berbeza geografi, adat, ritual, budaya dan segala-galanya. Penulis juga memberi gambaran sebenar mengenai kehidupan masyarakat Islam yang majoritinya dikelilingi masyarakat bukan Islam di sesebuah negara. Kisah yang terungkap di sebaliknya juga mampu menyuntik antidot dalam diri agar kita sedar di mana kita berpijak.

Pengalaman berkelana di negara orang sungguh menginsafkan penulis. Ia mengajar erti kedewasaan, kematangan dan semangat juang yang tinggi terutama ketika berkunjung ke negara-negara yang baru lepas perang seperti kemboja (1999) dan Myanmar (2001). Rakyatnya tidak pernah mengalah dan sentiasa optimis dengan masa depan mereka. Mereka gigih berusaha walaupun hakikatnya bukan mudah untuk menembusi benteng kapitalis yang menguasai setiap inci bumi mereka.

Musafir juga mengajar penulis tentang alam, bentuk muka bumi dan pengaruh geografi kepada kehidupan masyarakat setempat. Bangsa yang berjaya adalah bangsa yang tidak membatas mobiliti mereka. Mereka sentiasa bergerak, merantau dan berkelana keluar daripada masyarakat mereka, berkawan dengan masyarakat dunia yan baru mereka kenali sebelum berjaya mendaki kejayaan yang lebih bermakna.



KOMEN SAYA

Buku travelog kali ini merangkumi kembara ke beberapa negara di tanah Eropah, Timur Tengah, China, Thailand, Australia, Bangladesh, Kemboja dan Bali. Di Eropah, penulis telah menjejak kaki ke Turki, London dan Bosnia. Manakala di Timur Tengah pula, penulis telah berpeluang meneroka Jeddah, Syria dan Dubai. Secara fizikalnya, buku ini dipersembahkan dengan sangat baik. Terdapat banyak gambar berwarna yang dimuatkan oleh penulis semasa sesi pengembaraan tersebut. Saya suka jenis huruf yang digunakan pada tulisan di dalam buku travelog ini. Setiap bab dan perenggan disusun dengan teratur agar pembaca sentiasa segar sepanjang membacanya.

Buku ini telah saya baca setahun yang lalu tetapi baru hari ini saya berkesempatan untuk mengeluarkan entrinya. Sebagaimana pembaca blog ini tahu yang saya amat suka membaca dan mengumpul buku-buku bergene travelog, maka sudah pasti buku ini juga menjadi sasaran saya untuk dikumpulkan ke dalam koleksi rak buku saya. Sebenarnya, terlalu banyak cerita menarik yang termuat di dalam buku ini, namun kali ini saya akan biarkan pembaca sendiri untuk membacanya.

Saya amat suka cerita penulis semasa berada di Turki, London, Syria dan China. Gambar-gambar berkaitan semasa penulis berada di sana membuatkan saya berasa teruja ingin ke sana. Contohnya semasa di Turki, penulis telah melawat ke tempat perusahaan permaidani yang dilakukan secara tradisional. Semasa di Bosnia pula, penulis berpeluang berziarah ke rumah keluarga isteri Ustaz Wan Sohor Bani Leman yang merupakan warganegara Bosnia.

Buku travelog ini telah ditulis oleh seorang penulis yang sudah lama berkecimpung dalam dunia penulisan. Sudah pasti catatan ini ditulis dengan baik, menyeluruh dan menyerap ke hati pembaca sekalian. Saya sarankan kepada pembaca untuk mendapatkan buku ini dan membacanya sendiri. Terdapat banyak mesej yang ingin penulis kongsikan menerusi penulisan buku ini. Wallahualam.






PENGALAMAN ORANG LAIN BOLEH MENJADI PENGAJARAN YANG BERGUNA BAGI KITA




Friday, September 12, 2014

MENALAR MAKNA DIRI: KEMBARA MENJEJAK IMAM BIRGIVI - HASRIZAL ABDUL JAMIL





Assalamualaikum WBT

Menalar Makna Diri: Kembara Menjejak Imam Birgivi adalah sebuah naskhah travelog yang merakam pengalaman Ustaz Hasrizal Abdul Jamil mengembara untuk mencari dan menganalisa bahan rujukan bagi mengkaji pemikiran dan perjuangan seorang tokoh penting Daulah Uthmaniyyah Abad ke-16, Muhammad bin Pir Ali al-Birkawi, atau dikenali sebagai Imam Birgivi.

Pengembaraan ini bukan sekadar pengembaraan akademik bagi menyempurnakan pengajian Sarjana Pengajian Islam (Pengajian Arab dan Tamadun Islam) beliau di UKM, tetapi ia juga adalah pengembaraan ukhuwah, tarbiyyah, mehnah, keringat dan air mata, pada memartabatkan disiplin sejarah, saat ia dipinggirkan oleh massa.

Perjalanan merentas gunung melintas benua, terhimpun padanya keseriusan amanah ilmu, namun terselit juga kelucuan persahabatan melangkau batas bangsa dan bahasa, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil mempersembahkan naskhah ini sebagai sumbangan beliau pada mempromosi bidang sejarah, kajian tokoh dan ilmu pengetahuan itu sendiri, sebagai dasar tempat berdirinya ummah zaman berzaman.

Pengembaraan ini bukan sekadar menemukan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dengan Imam Birgivi yang dikaji, tetapi membantunya menalar usia di persimpangan 40-an, pada menemukan beliau dengan dirinya yang dicari, selama ini.



KOMEN SAYA

Saya sangat suka membaca buku travelog dan buku ini telah menepati citarasa membaca saya. Pengembaraan yang sungguh bermakna buat penulis kerana kembara kali ini mempunyai visi dan misinya yang tersendiri. Di Turki, terdapat banyak sejarah tinggalan pemerintahan Kerajaan Islam Uthmaniyyah. Di Turki juga, terdapat nama-nama besar dalam memperjuangkan Islam dan ajaran Islam yang kurang ditonjolkan oleh media massa. Pendedahan dan pencerahan berkaitan sesuatu isu sangat bermanfaat buat pembaca seperti saya.

Secara fizikalnya, buku ini dipersembahkan dengan begitu baik sekali. Ketebalan buku yang mempunyai 437 muka surat ini boleh memuaskan hati pembaca. Terdapat banyak gambar yang dilampirkan sepanjang pengembaraan penulis. Setiap isi, perenggan dan bab disusun dengan cermat agar pembaca tidak letih untuk menelaah secara terus menerus tanpa jemu. Paling menarik, pada setiap nombor bab dan nombor muka surat diwarnakan dengan warna yang senada. Lain bab, lain pula warnanya. Setiap topik dikupas dengan panjang lebar berserta informasi dan penjelasannya sekali.

Bab 20 bertajuk 'Merawat Kekeliruan Permasalahan Syiah Dengan Disiplin Sejarah', penulis berkongsi pengalamannya dengan pembaca tentang pengalamannya menghadiri sebuah majlis ilmu semasa menuntut di Jordan. Saya sangat tertarik dengan kisah dan pencerahan yang telah penulis ketengahkan kerana saya juga berpengalaman mendengar atau terbaca hadis-hadis yang tidak pasti status kesahihannya seperti itu yang sering diulang sama ada oleh penceramah atau penulis buku. Selain itu, kupasan tentang Syiah diperincikan dalam bab ini.

Bab 32 bertajuk 'Mengapa Sultan Uthmaniyyah Tidak Mengerjakan Haji', sungguh berinformasi buat pembaca. Sebagaimana umum tahu yang buku-buku ilmiah berkenaan sejarah Kerajaan Uthmaniyyah banyak ditulis oleh penulis-penulis Barat yang sewenang-wenang memanipulasi fakta sebenar hingga menampakkan imej pemerintah Islam zaman itu mempunyai akhlak yang menyimpang dari ajaran Islam yang sebenar. Contohnya catatan-catatan tentang institusi Harem dalam Daulah Uthmaniyyah yang menggambarkan kerakusan Sultan yang diselubungi wanita-wanita cantik dengan bilangan gundik-gundik yang tidak terbilang ramainya. Cerita-cerita yang tidak dipastikan kebenarannya itu sering disensasikan oleh penulis-penulis Barat yang terdiri daripada golongan pengembara yang pernah datang ke Turki. Penulis juga mengingatkan pembaca agar lebih bijak dalam menyaring bacaan agar tidak terpengaruh dengan karya-karya sejarah dewasa ini yang berbentuk fiksyen hasil daripada imaginasi si penulis.

Penulis turut menyisipkan beberapa tazkirah oleh Imam Birgivi dalam Tariqah Muhammadiyyah. Tazkirah yang berupa nasihat dan teguran buat pembaca sekalian. InsyaAllah, saya ingin mendapatkan kitab ini jika ada terjemahannya.

Penulis juga menyenaraikan 10 ciri-ciri sejarawan yang perlu ada iaitu, Perlu melangsaikan pembacaan utama, Mempunyai pemikiran yang sistematik, Mempunyai bakat menganalisa dan mengkritik, Sabar dan tenang, Bekerja keras, Objektif dan adil, Berani dan tegas, Berupaya memahami kepelbagaian konteks, Sensetif dan peka pancaindera dan Mencintai peranan. Saya sarankan kepada pembaca sekalian agar mendapatkan buku ini untuk mengetahui intipati selanjutnya. Wallahualam





KUBUR ITU GELAP. HIDUP JANGAN MAIN-MAIN 


- USTAZ HASRIZAL -





Saturday, July 12, 2014

MENYEMAI BENIH MEMBACA






Assalamualaikum WBT

Ayat al-Quran pertama yang Allah swt turunkan kepada Nabi Muhammad saw melalui Jibril as ialah Iqra. Iqra bermaksud ‘Bacalah’. Seruan untuk membaca merupakan arahan langsung dari Allah swt. Umat Islam perlu menjadikan aktiviti membaca ini sebagai satu keperluan dalam hidup. Membaca bukan sekadar dijadikan hobi tetapi ianya merupakan aktiviti wajib yang perlu dilakukan setiap hari kerana dengan membaca umat Islam akan menjadi cerdik, maju, berjaya, disegani dan dijadikan sebagai contoh terbaik kepada orang-orang kafir. Bertepatan dengan kata-kata 'kaum yang membaca adalah kaum yang maju kerana membaca bisa menghadang manusia dari kebodohan', wajar untuk kita semai dan terap budaya cinta membaca di dalam diri dan keluarga sejak awal lagi.

Sikap suka membaca perlu disemai seawal janin di dalam kandungan ibu lagi. Ibu yang sedang mengandung wajar mengetahui dan belajar tentang psikologi bayi yang ada di dalam kandungan mereka kerana pembawaan sikap dan segala aktiviti ibu semasa mengandung sangat mempengaruhi bayi yang sedang membesar di dalam kandungan. Ibu mengandung disarankan memperbanyak membaca ayat-ayat suci al-Quran dan membaca buku-buku sirah nabi. Selain itu, buku-buku yang berkaitan keibubapaan dan kesihatan juga perlu dijadikan pilihan kerana genre bacaan ini akan memantapkan ilmu pengetahuan bagi persediaan sebelum melahirkan bayi. 

Elakkan dari membaca buku-buku yang kosong pengisian dan hanya membuang masa sahaja. Novel-novel cinta khayalan yang tidak kesampaian akan memberi kesan sedih kepada si ibu lalu dikhuatiri emosi sedih itu akan mempengaruhi bayi di dalam kandungan dan kesannya, bayi tersebut akan membesar menjadi kanak-kanak yang sensitif dan cengeng. Pilih buku-buku yang baik dan berunsur motivasi yang boleh menaikkan semangat diri untuk meneguhkan jati diri bayi dalam kandungan. 

Setelah bayi lahir dan diawal pembesaran mereka, biasakan membawa mereka ke kedai-kedai buku dan perpustakaan. Dedahkan mereka untuk melihat buku-buku yang berwarna warni dengan ilustrasi yang bersize besar. Suasana dan aktiviti ini akan mempengaruhi memori kanak-kanak untuk cepat mengingat perkara-perkara baik yang telah didedahkan kepada mereka semenjak kecil. Oleh itu, secara tidak langsung, aktiviti membaca yang sihat ini telah disemai secara perlahan dan alami tanpa ada unsur-unsur paksaan. Sesungguhnya anak-anak yang lahir ibarat kain putih. Maka, tugas ibubapa adalah mencorak anak-anak itu mengikut landasan dan panduan yang telah ditetapkan al-Quran dan sunnah. 

Pendedahan awal akan betapa pentingnya membaca ini lebih berkesan jika ibubapa sendiri sedar akan peri pentingnya perintah Allah swt yang termaktub di dalam surah Al-A'laq ini. Ibubapa dinasihatkan agar selalu membelikan atau menghadiahkan anak-anak dengan buku terutama buku-buku yang mengisahkan sirah Nabi dan Rasul agar anak-anak lebih mengenali diri dan asal usul mereka. Dengan cara ini, sedikit sebanyak boleh memantapkan lagi jati diri mereka dalam mengharungi perjalanan usia yang semakin membesar dan menjadikan Nabi Muhammad saw sebagai role model yang perlu dicintai dan dicontohi. 

Genre pembacaan akan bertukar matang seiring dengan meningkatnya usia kanak-kanak itu. Semasa bayi, bacaan yang sesuai adalah buku-buku berkertas tebal, mempunyai imej bergambar warna-warni dan mempunyai tulisan bersize besar sama ada huruf jawi ataupun rumi. Anak-anak perlu diajar untuk membaca al-Quran dan mendedahkan mereka dengan surah-surah pendek yang lazim dibaca di dalam solat. Jangan lupa untuk mengajar mereka dengan pelbagai doa yang terdiri dari hadis-hadis Nabi saw. Proses untuk mengingat pada usia kanak-kanak ini adalah lebih mudah dan berkesan berbanding umur selepas meningkat remaja. Oleh itu, ibubapa perlu merebut peluang ini untuk mengisi ingatan anak-anak dengan pengajaran-pengajaran yang baik mengikut syariat Islam.

Tidak dinafikan, ada diantara kita yang baru menyedari betapa pentingnya membaca setelah mula mendapat pendedahan guru-guru semasa di sekolah dan ada pula yang baru menyedari peri pentingnya membaca setelah umur sudah meningkat lanjut. Sebenarnya, perkara ini tidak menjadi masalah dan masih belum terlambat untuk kita menyemai benih minat membaca dan berusaha untuk mendidik diri mencintai membaca yang merupakan perintah Allah swt. Selagi umur masih dikandung badan, selagi itulah ruang dan peluang masih terhampar luas untuk kita berjihad mencari ilmu melalui pembacaan. Paling penting, kita perlu beristiqamah dengan apa yang kita lakukan. 

Untuk mencintai aktiviti membaca ini, kita perlukan usaha dan keazaman yang sangat tinggi supaya kita tidak bersikap 'hangat-hangat tahi ayam'. Kita perlu mengenal pasti waktu perdana iaitu waktu terbaik dimana ketika itu fikiran kita segar dan boleh membaca dengan berkesan. Apabila kita dapat membaca dengan berkesan, segala maklumat yang terdapat di dalam buku yang kita baca itu akan terpahat atau tersalin kukuh di minda dan kita boleh memanfaatkan apa-apa yang kita baca itu dengan mengimbas memori yang tersimpan di dalam kotak minda apabila diperlukan kelak. Lebih baik, jika segala pembacaan yang tercerna di minda, kita jalinkan menjadi idea lalu dilontarkan menjadi tulisan dan disebarkan untuk bacaan umum. Apatah lagi sekarang ini terdapat banyak medium untuk memudahkan kita menyalurkan perkongsian idea dan ilmu untuk manfaat sesama ummah.



Ungkapan 'Anda adalah apa yang anda baca' sangat benar dan mendalam maksudnya. Sebagai umat Islam, kita disarankan untuk memenuhi masa dengan pembacaan yang baik demi untuk mendapat kebaikan di dunia dan akhirat. Oleh itu, wajarlah kita untuk mendahulukan membaca kitab suci al-Quran berserta kitab tafsirnya supaya kita lebih memahami maksudnya. Kemudian dituruti dengan kitab-kitab Hadis berserta kitab syarahnya. Diikuti pula dengan bacaan kitab-kitab Fikah, Fatwa, Tasawuf, Akidah, Sirah & Sejarah, kitab-kitab karya para sahabat, ulama dan tokoh agama, dakwah, pencerahan, motivasi, panduan, sastera dan novel-novel yang mempunyai pengisian. 

Dengan membaca dan mendahulukan bacaan kitab-kitab yang penting dan utama ini, kita telah memenuhi masa dengan sesuatu yang bermanfaat demi untuk mendapat keredhaan Allah swt. Selain itu, dengan melazimi membaca kitab-kitab karangan para ulama, kita akan merasa dekat dengan mereka dan dapat menceduk ilmu-ilmu yang terkandung di dalam kitab-kitab itu dan akhirnya ilmu-ilmu yang baik itu boleh digunakan untuk diri kita sendiri lalu disebarkan kepada keluarga dan sesiapa sahaja yang berada disekeliling kita. Wallahualam. 



RUMAH YANG INDAH ADALAH RUMAH YANG DIPENUHI DENGAN TIMBUNAN BUKU-BUKU.

MENGAIT CINTA DI ISTANBUL - AYZA GURSOY




Assalamualaikum WBT

Mengait Cinta Di Istanbul adalah catatan santai dan ringkas tentang warna-warna kehidupan perkahwinan campur. Penulis mencatatkan serba sedikit tentang pertembungan budaya Turki dan Melayu, bahasa, amalan masyarakat Turki, kehidupan di negara orang dan beberapa perkongsian lain yang dikira boleh membawa manfaat kepada pembaca.

Turki mempunyai sekitar 75 juta penduduk dan 99 peratus daripadanya adalah beragama Islam. Meskipun Turki dikatakan negara sekular sejak pemerintahan Ataturk, Turki yang penulis kenal sebenarnya sangat Islamik. Gerakan badan-badan Islam di Turki sangat aktif dan berkembang pesat di seluruh dunia. Turki kaya dengan sejarah-sejarah Islam, dan mereka menyimpan pelbagai khazanah Islam dulu kala.

Di celah-celah perkongsian ilmu dan pengalaman serta asam garam hidup penulis ketika tinggal di perantauan, tersisip pelbagai hikmah dan pengajaran yang boleh diangkat menjadi iktibar dan mutiara hidup. Sesungguhnya pertembungan dua negara ini membuahkan hasil yang baik. Coretan pengalaman hidup ini ditulis oleh seorang wanita Malaysia yang berasal dari Melaka, dan kini menetap di Turki.



KOMEN SAYA

Buku ini saya beli di kedai buku Pustaka Aris. Semasa sedang meninjau buku-buku baru sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2014 di laman sosial Facebook, saya terpandang sebuah buku yang sangat cantik ini dan terus membuat pesanan untuk membelinya. Tambahan lagi saya sangat sukakan warna merah jambu. Melihat muka depan buku ini berserta dengan tajuknya benar-benar telah memikat hati saya.

Keesokan harinya, saya terus ke kedai buku tersebut untuk mengambil pesanan buku ini. Muka depan buku ini sangat cantik dan kena dengan citarasa saya. Tajuknya juga sangat saya suka kerana ada perkataan 'Istanbul' dan 'Mengait'. Kulit buku menggunakan kertas yang sederhana keras. Hanya ada 122 muka surat sahaja. Harganya RM 19.90. Terbitan Mustread Sdn Bhd.

Setiap satu cerita dipisahkan dengan bab masing-masing. Saya suka membaca semua nukilan penulis ini tetapi pada pendapat saya, nukilannya sangat ringkas. Contohnya, di dalam satu bab, penulis hanya menulis panjangnya tidak mencukupi dua muka surat. Walaupun penulis ada isi untuk diketengahkan, namun penulis tidak mengembangkan penulisan beliau.

Saya suka dengan suasana yang diceritakan oleh penulis semasa berhijrah ke Turki. Di dalam Bab 12 bertajuk 'Selamat Datang Cucuku' penulis ada menceritakan bagaimana semasa mereka sekeluarga baharu sampai di hadapan rumah keluarga mertua di kedesaan Turki, suamiya telah mengejutkan isi rumah tersebut dengan membaling batu kecil.

Tiba-tiba terimbas kenangan saya bersama arwah nenek dahulu. Rumah nenek agak besar dan tinggi. Nenek pula tinggal seorang semenjak pemergian arwah atok. Tiada telefon atau loceng pintu di rumahnya. Maka, untuk memberitahu tentang kedatangan saya, terpaksa saya cari batu-batu kecil dan melempar batu melalui tingkap rumah nenek yang terbuka. Tunggu selama 5 minit, pasti nenek akan menjengulkan kepalanya keluar ke tinggap melihat gerangan siapa yang datang. Pastinya nenek sudah tahu gerangan siapa yang berada di luar.

Bab 13 mengisahkan tentang pekedai yang bermurah hati menyediakan roti untuk sedekah. Mudah sahaja falsafah mereka dalam bersedekah. Jika ada wang, bayar dan jika tiada wang, sila ambil sahaja. Saya pernah membaca satu artikel di mana setiap kali musim sejuk tiba, pemerintah Turki telah mengarahkan kakitangan beliau untuk membawa dan memberi makanan buat burung-burung yang berada di bukit-bukit dan gunung-ganang. Begitu juga dengan kucing, ada disediakan makanan kucing ditempat-tempat kucing berkeliaran.

Penulis juga ada berkongsi tentang kaedah penyediaan teh yang betul mengikut kaedah penyediaan teh masyarakat Turki. Teko untuk penyediaan teh di Turki juga lain berbanding dengan di Malaysia. Jika di Malaysia, kita akan mencampur teh, gula dan air panas sekali gus. Di Turki cara penyediaannya berbeza. Mungkin disebabkan itu perut mereka tidak sebu atau kembung walaupun kerap meminum air teh.

Resipi-resipi tradisional Turki juga sempat penulis kongsikan bersama pembaca. Pelbagai masakan harian Turki ada dimuatkan dalam buku ini. Termasuk sajian untuk iftar di bulan Ramadhan. Suasana Ramadhan di Turki sangat meriah. Masjid dihiasi dengan lampu berwarna-warni. Masyarakat Turki akan keluar beramai-ramai untuk mengimarahkan masjid.

Saya juga suka bab yang ditulis oleh penulis tentang aktiviti beliau di masa lapang iaitu mengait. Penulis telah belajar mengait sejak zaman sekolah lagi. Boleh dikatakan wanita Turki pandai dan suka mengait. Apatah lagi jenis kaitan yang menggunakan jarum dua. Di dalam bab 29 bertajuk 'Mafela Untuk Suami', penulis berkongsi ilmu mengait bersama pembaca.

Semasa membaca buku ini, terlalu banyak kenangan manis yang terimbas sewaktu saya tinggal bersama nenek dahulu. Suasana dan kehidupan di Turki yang diceritakan oleh penulis entah mengapa saya rasa ada persamaannya dengan kehidupan nenek saya dahulu. Nenek yang suka mengait, menjahit, membaca, memasak dan rajin membuat kerja-kerja rumah. Nenek yang suka menanam pokok-pokok wangi di sekitar rumah besarnya akan membangkitkan aroma harum di setiap pagi, malam dan selepas hujan. Saya doakan untuk kesejahteraan nenek saya di sana. Ameen.

Saya akan membaca buku ini untuk kali yang kedua. Kepada penulis buku ini, saya harap anda akan terus berkarya dan memperkembangkannya lagi. Sesungguhnya anda sangat bertuah kerana mempunyai pengalaman yang manis seperti itu. Pada buku yang lain, saya harap akan dilampirkan lebih banyak gambar-gambar suasana persekitaran di sana. Wallahualam.







MARI MENGEMBARA DENGAN MEMBACA



Thursday, July 10, 2014

TRAVELOG DI LEMBAH SUNGAI DAJLAH DAN FURAT - DR AZMAN IBRAHIM





Assalamualaikum WBT

Berkesempatan melalui kehidupan selama enam tahun dari 1993 - 1999 sebagai penuntut ilmu di bumi Iraq adalah kesempatan emas yang tidak ternilai mahalnya buat penulis untuk dikongsi detik-detik berharga itu dengan penuh iktibar, suka, duka memori, maklumat, ilmu dan pengajaran di dalam sebuah buku catatan.

Iraq dikenali juga sebagai 'Tanah Antara Dua Sungai'. Aliran Sungai Dajlah (Tigris) serta Sungai Furat (Euphrates) membentuk kawasan tanah yang subur serta merakamkan sejarah tamadun manusia berusia ribuan tahun di lembahnya. Tanah berkat ini juga adalah bumi para Anbiya' dengan terdapatnya maqam Nabi-Nabi seperti Nabi Yunus, Nabi Jarjis, Nabi Daniel, Nabi Syit dan Nabi Zulkifli.

Penguasaannya silih berganti. Nebuchadnezzar antara Raja yang pernah bertakhta di lembah ini dengan menjadi Maharaja di kota Babylon. Lembah ini juga pernah dikuasai Empayar Parsi. Selepas era Empayar Parsi, Islam pula mengambil alih peranan membina tamadun yang tidak dapat dibohongi oleh sejarah.

Bumi subur ini juga pernah menyaksikan kekejaman Tentera Moghul disaat kejatuhan Kota Baghdad yang membawa kepada keruntuhan Khilafah Abbasiyah. Khilafah Islam Uthmaniah juga pernah menjadi sebahagian sejarah kegemilangan mercu keagungan tamadun Islam di sini sehinggalah pakatan kuasa barat meruntuhkan Khilafah Islam terakhir ini dalam Perang Dunia yang pertama.

Sejarah jatuh bangun Iraq pasca pemerintahan Uthmaniah juga turut penulis rakamkan catatannya. Bermula dengan pemerintahan Keluarga Diraja yang digulingkan dalam insiden pertumpahan darah disusuli dengan revolusi demi revolusi sehinggalah Saddam Hussein muncul menjadi individu paling berkuasa di Iraq.

Kronologi sejarah ini bukan sahaja dicatatkan oleh penulis secara santai malah diperkukuhkan lagi dengan fakta-fakta yang mudah dihadam oleh pembaca. Disamping itu, penulis juga memberikan pandangan sisi sendiri dalam beberapa sudut secara kritis.

Apatah lagi dengan hakikat bahawa Iraq adalah sebuah negara yang agak tertutup kepada dunia luar, maklumat-maklumat sebenar dari setiap tragedi yang berlaku ini sangat wajar dikongsikan setulus mungkin. Tidak ketinggalan juga memori kehidupan seharian bersama masyarakat Iraq setempat dan pengalaman menjadi satu-satunya warga Malaysia yang menimba ilmu di College of Dentistry, University of Baghdad tidak akan terlepas dari rakaman penulis. Semoga ianya mampu menyumbang sedikit kepada khazanah ilmu dan maklumat.



KOMEN SAYA

Saya membeli buku ini secara atas talian dengan seorang penjual buku di Kulai. Sebenarnya, sebelum membeli buku ini, saya kerap mengikuti perkembangan penulisan manuskrip ini melalui laman sosial peribadi Doktor Azman Ibrahim. Saya adalah pembaca senyap yang setia menunggu kemunculan status baru di laman sosial beliau. Setelah penulis memaklumkan bahawa buku beliau telah pun siap di cetak dan sedia untuk dipasarkan, maka saya dengan segera mencari maklumat tentang kedai-kedai buku yang menjadi pengedar buku ini. Alhamdulillah, tidak menunggu lama, saya terus menghubungi kedai buku tersebut dan membelinya secara atas talian.

Selama ini, saya tidak pernah membaca buku travelog tentang Iraq yang ditulis oleh penulis Melayu. Dapat menggenggam dan membaca buku ini secara peribadi sama seperti saya dapat merasai pengalaman tinggal di negara tersebut. Buku ini berharga RM 25 sahaja. Mempunyai 302 mukasurat. Dilengkapkan dengan gambar peribadi yang dirakamkan oleh penulis disamping gambar-gambar berkenaan negara Iraq. Gambar yang dipaparkan adalah hitam putih. Setiap penceritaan disusun mengikut bab masing-masing.

Pada bab mukadimah, penulis bercerita tentang persediaan beliau untuk menuntut ilmu ke Iraq. Tentang perjalanan darat beliau dari Amman menuju ke Baghdad sejauh 850 km dengan menaiki kenderaan Chevrolet GMC yang telah disewa oleh beliau dan rakan-rakan yang lain. Jarak antara Amman ke sempadan Iraq pula sejauh 370 km.

Semasa di Baghdad, penulis telah menyewa sebuah rumah flat yang terletak di kawasan Pasar Adhamiya iaitu kawasan penempatan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana. Namun masih berpegang dengan nilai agama yang tinggi. Di sini, rumah disewa secara tahunan, bukan bulanan seperti di Malaysia. Musim dinginnya mencecah suhu di bawah 10 darjah Celcius. Rumah yang disewa oleh penulis, tidak dilengkapi dengan alat pemanas air. Bayangkan bagaimana sejuknya setiap kali penulis ingin mandi atau mengambil wuduk.

Penulis juga banyak menceritakan tentang pengalaman beliau dalam menjalin ukhwah bersama masyarakat setempat. Rakan-rakan beliau juga terdiri dari golongan Sunni dan Syiah. Di dalam bab-bab lain banyak juga penulis sentuh tentang masyarakat yang menganut Syiah di Iraq. Tentang masjid dan sambutan Hari Karbala serta ibadat cara Syiah.

Saya tertarik dengan penulisan tentang sejarah jatuh bangun Iraq. Penerangan tentang Saddam Hussein juga sangat terperinci. Perihal anak kesayangan Saddam yang bernama Uday Saddam Hussein juga dikupas dengan panjang lebar. Kejatuhan tragis takhta pemerintahan keluarga Saddam Hussein juga diceritakan dengan jelas.

Cara penyampaian buku ini sangat jelas dan menyeluruh. Penulisan berdasarkan fakta dan pengalaman peribadi penulis itu sendiri. Buku ini sesuai untuk bacaan kita sekeluarga. Penulis juga anda menyentuh tentang kitab Nahjul al Balaghah dan kitab Hikayat Seribu Satu Malam. Jika pembaca ingin mengetahui isi-isi menarik selanjutnya, sila dapatkan buku ini dengan segera. Wallahualam.






SEMAKIN BANYAK KITA MEMBACA. SEMAKIN BANYAK PERKARA YANG INGIN KITA TAHU.



KEMBARA SOLO 'STANS' ASIA TENGAH - ANITA YUSUF




Assalamualaikum WBT

Buku ini menceritakan segala pengalaman pahit manis Anita melakukan kembara bermotosikal solo ke Uzbekistan, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan dan Afghanistan. Negara-negara ini bukan sahaja terkenal dengan keindahan panorama serta sejarah Laluan Suteranya, namun terkenal juga dengan kerenah birokrasi kerajaan, kemunduran serta kegetiran halangan alam semula jadinya. Dalam seribu kepayahan, Anita telah berjaya menamatkan kembara solo ini dan kejayaan beliau telah diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai "First Woman To Ride Solo Across Five Central Asian Countries On Motorcycle"

Anita mula berjinak-jinak dengan dunia pengembaraan sebagai seorang independant backpacker pada tahun 2002. Pengembaraan serta minatnya dalam sukan ekstrem seperti mendaki gunung, rock climbing, cave exploration, bermain luncur ais, berkayak dan white water rafting telah membawa Anita ke 53 buah negara di seluruh dunia. Beliau yang pernah melakukan bungy jumping dan glacier hiking ketika berada di New Zealand telah beralih arah ke adventure riding dengan menaiki motosikal pada tahun 2012 selepas terkesima melihat pemandangan indah di negara Kyrgyzstan yang tidak mempunyai kemudahan pengangkutan.

Anita memberanikan diri untuk belajar menunggang motosikal dan melengkapkan diri dengan ilmu overlanding sebelum berkembara secara solo ke beberapa buah negara di Asia Tenggara. Berbekalkan hanya satu tahun pengalaman menunggang motosikal, Anita memulakan ekspedisi 'berani mati'nya ke negara-negara di Asia Tengah pula. 




KOMEN SAYA

Semasa terpandang buku travelog ini di kedai buku Badan Cemerlang, hati merasa sangat teruja untuk memilikinya. Saya ambil senaskah buku ini lalu terus ke kaunter bayaran untuk membelinya. Entah mengapa, saya sangat sukakan buku-buku bergenre travelog. Apatah lagi, si penulis adalah seorang pengembara wanita berbangsa Melayu dan beragama Islam. Maka, keterujaan untuk menelusuri buku ini berganda tingkatannya. 

Pada pendapat peribadi saya, secara fizikalnya buku travelog ini dipersembahkan dengan begitu baik sekali. Sangat berbaloi dengan harga yang ditawarkan iaitu RM 49.90. Buku travelog lasak seorang wanita yang mengembara dengan menunggang motosikal peribadinya yang digelar Dream. Pengembaraan ini mengambil masa hampir sebulan. Buku ini berukuran lebih kurang 18cm tinggi x 20cm lebar. Penerbitan Multimedia Sdn Bhd. 

Menggunakan jenis kertas glossy paper dengan gambar yang berwarna-warni. Gambar yang disertakan sangat menyeluruh. Merangkumi persediaan awal sebelum penulis memulakan pengembaraan sehingga selamat pulang ke tanah air. Terdapat banyak gambar pemandangan semulajadi yang menarik, masyarakat setempat, makanan, tempat penginapan dan suasana sepanjang pengembaraan bermotosikal yang sempat dirakam oleh penulis untuk berkongsi bersama pembaca sekalian. 

Bukan calang-calang orang yang boleh mengembara secara solo dengan bermotosikal, apatah lagi seorang wanita. Penulis seorang yang sangat berani dan tinggi semangat. Sepanjang membaca buku travelog berwarna ini, perasaan saya bercampur baur antara teruja, gembira, cemas, kelakar dan takut. Apabila penulis menggambarkan tentang keadaan cuaca di sesuatu kawasan, saya dengan mudah dapat menggambarkan akan kedinginan yang mencengkam hingga ke tulang hitam atau kepanasan yang tinggi hingga mencecah suhu 50 darjah Celcius. 

Ada satu bab di mana penulis menceritakan tentang pengalaman cemas beliau kerana terminum air yang tidak pasti akan tahap kebersihannya yang telah diberi oleh seorang penduduk setempat. Setelah meminun air tersebut, tidak lama kemudian penulis diserang sakit perut yang teramat disertai dengan cirit birit hingga mengakibatkan beliau pengsan. Peristiwa cemas ini berlaku di Kalaikhum. 

Penulis seorang yang sangat berani kerana sanggup berkhemah seorang diri. Saya dapat menggambarkan suasana cemas dan takut apabila penulis menceritakan tentang bunyi lolongan serigala yang kedengaran hampir dengan tempat perkhemahan beliau. Ditambah pula dengan kedinginan cuaca yang rendah mencecah 6 darjah Celsius. Sesungguhnya buat sang pengembara seperti beliau, pergantungan seratus peratus kepada Allah SWT amatlah tinggi. Peristiwa ini berlaku dalam perjalanan penulis menuju ke Karakol.

Berbagai cabaran dan halangan yang terpaksa penulis tempuh sepanjang menunggang di laluan off road. Apatah lagi, penulis terpaksa mendaki laluan berbukit yang di bawahnya terdapat gaung. Lebih sukar lagi kerana laluan tersebut sempit, curam dan dipenuhi dengan batu-batu kerikil yang berselerakan. Tentu sahaja memberi kesan pada cengkaman tayar motosikal penulis. Banyak kali juga Dream tumbang disebabkan penulis hilang kawalan semasa melalui jalan tersebut. Persitiwa ini telah diceritakan oleh penulis sepanjang melalui kawasan-kawasan off road di beberapa negara.

Semasa melalui Tajikistan selatan, penulis dapat melihat perbezaan ketara dari segi raut wajah penduduk tempatan. Jika di kawasan pergunungan, raut wajah penduduk lebih mirip kepada wajah orang Mongolia, namun disebelah selatan berhampiran Afghanistan, wajah lelaki dan perempuan mereka menyamai wajah Arab dan Hindustan. Kaum wanita dan lelakinya sama cantik dan sama kacak. Ada gambar yang penulis sertakan di bab ini. Memang benar pembaca, wajah-wajah wanita mereka sangat cantik dan jelita.

Penulis sempat singgah di kota lama Bukhara di Samarqand yang mempunyai sejarah ribuan tahun dan dipenuhi dengan madrasah, kubu, bangunan berkubah serta sebuah kompleks bazar tertutup. Bukhara juga merupakan kota suci yang digelar Pillar of Islam. Antara tokoh Islam terkemuka yang pernah dilahirkan di sini adalah Imam Bukhari dan Ibnu Sina.

Terlalu banyak peristiwa menarik yang ingin saya kongsikan dengan pembaca tentang isi buku travelog ini. Namun begitu, lebih manis lagi jika pembaca sendiri dapat menelusuri perjalanan penulis dengan membaca sendiri buku ini. Sekurang-kurangnya dengan cara membeli, membaca dan menyimpan buku ini, secara tidak langsung kita menghargai akan semangat dan keberanian penulis mengembara hingga terhasil buku yang baik ini untuk tatapan generasi muda kelak. Wallahualam.




IT'S JUST ME, MY BIKE, THE SILENCE OF ROAD, THE BEAUTIFUL VIEW AND NOTHING ELSE MATTERS.

- ANITA YUSOF -



Wednesday, April 3, 2013

BERSYUKURLAH KERANA-NYA - SYED ALWI ALATAS




Assalamualaikum WBT

Buku ini ditulis dengan harapan yang besar agar para pembaca faham betapa pentingnya mensyukuri nikmat serta mengetahui perkara yang perlu dilakukan dalam bersyukur kepada Allah. Semakin banyak manusia bersyukur, maka akan semakin banyak nikmat dan kebaikan dilimpahkan ke atas mereka. Semakin banyak manusia bersyukur, akan semakin banyak kebahagiaan yang mereka rasai.

Manusia sekarang berada dalam zaman yang sangat maju. Begitu banyak kemudahan hidup dapat dirasai. Manusia moden umumnya lebih sejahtera dibandingkan mereka yang hidup pada masa-masa sebelumnya. Tetapi apakah mereka lebih bahagia?. Ternyata tidak!

Buktinya, banyak orang kaya yang kehidupannya tidak bahagia. Ramai orang terkenal yang akhirnya memutuskan untuk 'bersara' awal dengan mengakhiri hidupnya sendiri. Orang yang tidak berharta pun banyak yang tidak bahagia. Sedangkan mereka semua mengharapkan kebahagiaan dan mengimpikan kegembiraan hidup. Apa penyebab semua ini?. Sebabnya, mereka mencari kebahagiaan pada tempat yang salah.

Kebahagiaan tidak terdapat pada harta benda dan kekuasaan. Kebahagiaan ada dalam beberapa hal yang sederhana, antaranya pada apa yang dibahas dalam buku ini iaitu SYUKUR.

Maka kalau anda ingin bahagia, bahagia di dunia dan di akhirat, maka fahamilah apa yang terkandung di dalam buku ini dengan baik dan amalkanlah. Jika anda memahami dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian, insyaAllah jiwa akan semakin sihat dan bahagia. Anda akan lebih mudah tersenyum, lebih merasakan kemudahan dalam hidup dan dapat meraih lebih banyak manfaat dalam hidup.



KOMEN SAYA

Alhamdulillah, selepas membaca buku bertajuk 'Senyumlah' dan 'Mudahkan Jangan Susahkan' karangan Syed Alwi Alatas, akhirnya saya dapat membaca buku beliau yang seterusnya iaitu 'Bersyukurlah Kerana-Nya'. Buku terbaru ini sangat menarik perhatian saya kerana ianya menyingkap makna SYUKUR dengan lebih mendalam. Syukur atas nikmat yang telah dilimpahi Allah swt kepada sekalian hamba-Nya. Apakah kita ini termasuk golongan yang tahu bersyukur?. Jawapannya ada di dalam buku ini.

Sebagai manusia, kita tidak lekang dari melakukan dosa. Sudahlah banyak melakukan dosa, malah kurang bersyukur atas segala nikmat yang ada di sekeliling kita. Lebih buruk lagi, kita selalu menyalahkan Allah kerana tidak memakbulkan apa saja permintaan kita. Walhal, Allah itu Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Nya. Jika sesuatu doa yang dipinta tidak tertunai, pasti tersimpan hikmah disebalik semua itu. Sewajarnya, kita wajib bersangka baik di atas segala yang berlaku. Kita sering meminta apa yang tiada dan tidak bersyukur dengan apa yang ada. Contohnya nikmat kejadian manusia itu sendiri. Masihkah kita mahu menjadi orang yang mendustakan nikmat-nikmat Allah?.

Apabila membaca buku ini, saya seperti kanak-kanak yang baru saja dilibas dengan sebatang rotan kerana telah melakukan kesalahan yang besar. Penulis menyedarkan saya yang sering alpa akan limpahan nikmat anugerah Allah swt yang sangat banyak yang telah saya terima semenjak dari lahir hingga sekarang. Tanpa disedari, bergenang airmata kerana menyesali betapa saya sering alpa dan cuai untuk beristiqomah dalam bersyukur atas segala limpahan nikmat yang tidak terperi ini. Sebagai  manusia biasa, saya juga selalu mengeluh akan apa saja yang saya hajati tetapi tidak mampu saya miliki. Namun saya kurang perhatikan dan hargai, apatah lagi mensyukuri segala apa yang telah saya miliki. Walhal, segala apa yang ada pada saya adalah nikmat yang tidak ternilai tingginya. Saya benar-benar insaf.

Dengan membaca buku ini, ia dapat mengubah pandangan saya akan erti syukur yang sebenar-benarnya iaitu bersyukur dengan hati, lisan dan perbuatan. Penulis juga mengajar saya untuk lebih memanfaatkan segala nikmat yang ada disekeliling saya. Nikmat masa yang sering manusia lengahkan. Nikmat kesihatan yang sering manusia cuaikan. Nikmat kekayaan yang sering manusia hamburkan. Nikmat muda yang sering manusia lupakan dan nikmat hidup yang sering manusia abaikan. Ingat 5 perkara sebelum tiba 5 perkara. Penulis juga turut memuatkan beberapa teknik untuk meningkatkan rasa syukur.

Secara amnya, buku setebal 329 ini dihidangkan dengan cukup baik sekali. Ada 4 tajuk utama yang masing-masing dibawahnya mengandungi tajuk-tajuk kecil lainnya. 4 tajuk utama itu ialah 'Nikmat Yang Melimpah', 'Belumkah Datang Masa Untuk Bersyukur?', 'Bagaimana Bersyukur' dan 'Berbahagialah Mereka Yang Bersyukur'. Setiap bab ke bab yang lain dikupas dengan baik dan tidak meleret-leret. Penggunaan gaya bahasa yang santai dan mudah difahami, sesuai untuk bacaan setiap golongan. Dari bab ke bab mempunyai kesinambungan cerita hingga menjadikan pembaca ralit meneruskan pembacaan untuk mengetahui kisah motivasi yang dilampirkan dan kupasan selanjutnya. Pastinya kisah motivasi yang termuat dalam buku ini berjaya mencuit rasa sayu dan insaf kepada sekalian pembaca.

Kisah 'Raja Sehari' melambangkan manusia malang dan rugi yang sering menyia-nyiakan masa dan kesempatan yang dimilikinya. Kisah-kisah yang dipaparkan ini sebenarnya sangat menyamai dengan kehidupan seharian kita. Nikmat dan kesempatan yang diberi tidak digunakan dengan baik sehingga segala nikmat itu ditarik balik oleh sang empunya, barulah rasa penyesalan merajai hati. Setelah apa yang terjadi, manusia cenderung menggunakan perkataan 'Kalau'. "Kalaulah aku tahu begini akhirnya.....". Malangnya segala penyesalan itu sudah tidak berguna dan kesempatan yang pernah dimiliki tidak akan hadir untuk kedua kalinya.

Kisah 'Besarnya Nilai RM144' sangat menginsafkan saya. Jika kita merasa diri kita susah, masih ada ramai lagi manusia yang lebih susah daripada kita. Kesimpulannya, jangan selalu pandang orang yang di atas kita, selalulah pandang siapa yang berada di bawah kita dan perhatikan kehidupan mereka. Cara ini akan menjadikan kita lebih bersyukur atas nikmat yang telah kita terima.

Kisah ikan paus yang terperangkap di dalam pukat juga sangat memilukan. Ikan paus itu telah diselamatkan oleh sekumpulan penyelamat. Walaupun kerja-kerja menyelamat itu bahaya dan memakan masa, namun berkat rasa simpati yang tinggi terhadap haiwan tersebut, para penyelamat tetap meneruskan misi menyelamat mereka hinggalah ikan paus itu bebas. Setelah ikan paus tersebut terselamat, ia menghampiri seorang demi seorang penyelamat itu, menyentuh dan menolak mereka dengan lembut seolah-olah sedang berterima kasih kepada mereka. Haiwan juga pandai bersyukur dan berterima kasih. Kita pula bagaimana?.

Kisah di atas adalah sedutan dari cerita motivasi yang termuat di dalam buku ini. Kepada pembaca, sila dapatkan buku ini di kedai-kedai buku berhampiran untuk mengetahui kisah dan kupasan selanjutnya. Sepanjang membaca buku ini, saya berasa seperti sedang mendengar kuliah agama yang disampaikan oleh Tok Guru secara bersemuka. Segala yang disampaikan mudah terakam di minda dan menyerap di kalbu saya. Semoga segala ilmu yang digali melalui buku ini dapat menjadikan saya insan yang lebih baik dalam memahami dan menghayati erti syukur yang sebenar-benarnya. Terima kasih buat Tuan Syed Alwi Alatas kerana sudi berkongsi ilmu yang sangat bermanfaat ini. Semoga kita sama-sama menjadi hamba yang bersyukur. Wallahualam.





SYUKUR AKAN MENGIKAT NIKMAT DAN MENARIK TAMBAHAN NIKMAT. ORANG YANG PANDAI BERSYUKUR ADALAH ORANG YANG PANDAI MENARIK NIKMAT KEPADA DIRINYA 

- SYED ALWI ALATAS -