Saturday, January 2, 2010

MUNAJAT CINTA 1 & 2 - TAUFIQURRAHMAN AL-AZIZY



Assalammualaikum buat pembaca Blog Jom Sewa Buku yang saya kasihi. Semoga anda semua sihat dan dirahmati Allah SWT. Nampaknya sudah lama saya tidak menulis sebarang entri mengenai buku. Sebenarnya sudah seminggu saya tiada di Johor Bahru. Selepas mengambil keputusan Peperiksaan PMR anak kedua saya iaitu Nur Anisah, kami sekeluarga telah bersetuju untuk berehat selama seminggu di nun negeri sebelah Utara iaitu di Perlis. Sambil bercuti, bolehlah juga kami sekeluarga menyambung silaturrahim dan berziarah kaum kerabat di sebelah suami saya yang berada di sana.

Alhamdulillah, hari ini untuk pertama kali di tahun baru 2010 saya akan membicarakan buku yang telah saya baca sepanjang masa percutian saya selama seminggu itu. Dalam masa seminggu itu, hanya 2 buah buku saja yang sempat saya baca kerana saya juga disebukkan dengan aktiviti lain.

Novel Munajat Cinta 1 & 2 hasil karya Taufiqurrahman ini mengisahkan tentang seorang gadis yang bernama Ruwayda atau Ayda . Ayda merupakan seorang gadis yang dikurniakan dengan kecerdasan istimewa. Dia lahir dari keluarga yang kaya, tetapi tiba-tiba dia perlu berhadapan dengan kenyataan pahit yang menimpa keluarganya. Ayahnya seorang ahli perniagaan yang terkenal, diisytiharkan muflis. Cita-cita Ayda yang mahu melanjutkan pelajaran ke menara gading terkandas. Hampir setiap hari ibu bapanya bertengkar kerana kekurangan duit, tuntutan hutang dan harta benda mereka disita oleh pihak bank.

Jiwa Ayda menjadi goncang dan tertekan. Kehidupan harmoni keluarganya tidak seperti dahulu lagi. Kebankrapan telah memporak-perandakan kebahagiaan cinta ayah dan ibunya. Di atas tanah perkuburan Paponan di daerah Perakan, Ayda ingin membunuh dirinya lantaran tidak tahan dengan tekanan jiwa yang sudah sampai ke tahap kritikal. Ayda juga membuat pilihan untuk menjadi pelacur supaya mendapat wang dengan mudah dan cepat demi untuk mengembalikan keharmonian keluarganya seperti dahulu. Ayda mengalami dilema samaada ingin menjadi pelacur atau mengakhiri hidupnya yang dirundung sengsara itu. Ayda hilang pesona iman sebagai seorang muslimah gara-gara belenggu wang, cinta, harga diri dan kebahagiaan.

Novel Islami ini penuh dengan pergolakan jati diri seorang gadis yang mencari jalan hidup, iman dan cinta. Sebuah novel yang penuh plot, ketegangan, getaran, kasih sayang dan sekali gus air mata. Persoalannya, berjayakah Ayda melalui segala peristiwa pahit dalam hidupnya demi untuk mendapat kebahagiaan yang hakiki?. Jika mahu tahu cerita selanjutnya, silalah dapatkan novel yang penuh dengan kisah tauladan ini. Semoga dengan membaca novel ini, pembaca lebih memahami akan pentingnya sifat sabar dan tawaduk. Wallahualam.



BUKU MEMPERLUAS CARA MANUSIA BERFIKIR, MENYEMPITKAN KERAGUAN DAN MEMBANGKITKAN KEYAKINAN DIRI UNTUK BERHUJAH

2 comments:

  1. Salam Mina.
    Ketiadaan entri baru selama lebih seminggu menyebabkan saya terfikir mungkin Mina ada urusan lain.Rupanya tepat apa yang saya fikirkan.Mudahan percutian baru ni menyeronokkan dan dapat melepaskan stress.Apa-apa pun belum terlambat saya nak ucapkan tahniah kepada Nur Anisah yang saya rasa dapat keputusan cemerlang walaupun Mina tidak menyatakannya.Juga tahniah kepada Mina kerana dapat mendidik dan membimbing anak2 berjaya dalam pelajaran.Terima kasih.

    ReplyDelete
  2. Salam Tahun Baru untuk Limau Kasturi,

    Terima kasih diatas ucapan tahniah untuk Nur Anisah. Nur Anisah mendapat 7A dlm peperiksaan PMR 2009. Sebenarnya masih ada rasa terkilan dihati kami sekeluarga, sepatutnya Nur Anisah boleh mendapat 8A, namun saya tetap bersyukur dan redha dengan takdir Ilahi. Ya Allah, jadikanlah anak-anak kami, anak-anak yang soleh, soleha dan bertakwa. Tetapkan mereka dalam mendirikan solat. Semoga Allah SWT merahmati kita semua. Amin.

    Terima kasih

    ReplyDelete