Thursday, April 1, 2010

GADIS-GADIS KOTA RIYADH - RAJAA ALSANEA


Novel ini saya beli di kedai buku MPH, City Square, Johor Bahru. Pertama kali terpandang warna kulit novel ini, hati sudah terpaut untuk menyentuhnya. Saya memang gemarkan warna merah jambu dan warna kulit hadapan novel ini benar-benar menarik perhatian saya. Saya cuba mengamati ilustrasi atau gambar yang ditonjolkan di muka hadapan novel ini. Lukisan wanita yang memakai purdah atau hijab menjadi tandatanya diminda saya. Kemudian saya terus membaca tajuknya 'Gadis-Gadis Kota Riyadh'. Saya baca ulasan novel ini di kulit belakangnya. Saya cuba mencerna apa isi kandungan yang mahu disampaikan oleh penulis novel ini. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk membelinya walaupun dengan harga yang agak mahal memandangkan novel ini adalah novel terjemahan.

Tiba-tiba saja ingatan saya terimbau peristiwa semasa saya mengerjakan umrah 2 tahun lepas. Waktu itu jemaah umrah kami berhimpun di lapangan terbang Jeddah untuk menaiki pesawat Saudi Airlines untuk terbang pulang ke Lapangan Terbang Changi, Singapura. Kemudian pesawat berhenti selama 2 jam di Riyadh bagi kerja-kerja penyelenggaraan.

Semasa di Lapangan Terbang Jeddah, saya dapat menyaksikan berbagai ragam dan rupa wajah bangsa Arab. Subahanallah, mereka semua sememangnya cantik dan kacak. Kaum wanita dan gadis mereka walaupun diselubungi abaya dan berhijab hitam tetapi kecantikan asli mereka tetap terlihat dari sepasang mata mereka yang cantik dengan warna anak mata yang mendebarkan ditambah pula dengan alis mata yang lebat dan lentik. Sebab itulah mereka diwajibkan menutup muka sewaktu keluar dari rumah. Alangkan baru nampak sepasang mata saja, saya yang wanita ini sudah terpesona dengan kecantikan ciptaan Allah SWT, inikan jika yang memandangnya pula adalah kaum lelaki.

Novel Gadis-Gadis Kota Riyadh ini mengisahkan tentang 4 orang gadis berketurunan Arab Saudi dari golongan kelas atasan yang tinggal di kota Riyadh. Mereka terikat dengan kaum keluarga, adat resam dan budaya dalam menentukan teman hidup, walaupun mereka ini adalah gadis-gadis yang berpelajaran tinggi dan mendapat pendidikan dari barat. Contohnya dalam hal-hal percintaan dan perkahwinan, kaum keluarga mempunyai kuasa veto untuk menentukan pasangan anak masing-masing. Susur galur keturunan dan salasilah keluarga menjadi faktor utama dalam menentukan jodoh anak-anak mereka walaupun perkahwinan itu tanpa cinta kerana pada pendapat kaum tua, menjaga nama baik keturunan dan mendapat restu ibubapa adalah lebih penting dan utama.

Plot dikembangkan lagi dengan menceritakan kisah-kisah kekecewaan percintaan gadis-gadis ini yang bernama Lamees, Sadeem,Gamrah dan Michelle. Kisah percintaan yang terlarang, percintaan tanpa restu ibubapa, perceraian selepas sebulan pernikahan dan pelbagai konflik yang berjaya digarap oleh penulis dengan begitu sempurna dan beremosi. Semasa membaca novel ini, tidur malam saya tidak lena kerana saya ingin cepat menyudahkan pembacaan untuk mengetahui kisah selanjutnya. Saya terpaksa berhenti dari pembacaan untuk merehatkan mata dan mendapatkan tidur sebentar kerana mata saya berasa amat letih. Namun minda saya tidak dapat berehat sepenuhnya kerana masih dibayangi kisah Sadeem yang menyayat hati. Walaupun jam waktu itu sudah menunjukkan ke angka 2 pagi. Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya menamatkan buku ini dan berpuashati dengan pengakhiran cerita di dalam novel ini. Walaupun ianya bukan 'happy ending' yang memuaskan hati pembaca tetapi sekurang-kurangnya itulah perkara terbaik yang berlaku ke atas ke empat-empat watak utama di dalam novel Gadis-Gadis Kota Riyadh ini. Di sini ada nasihat yang paling berharga dari Gadis-Gadis Kota Riyadh untuk pembaca wanita : ' Pilihlah Lelaki Yang Mencintaimu, Bukan Lelaki Yang Kamu Cintai!



JADIKANLAH BANTALMU ITU BUKU, PEDANGMU ITU PENA DAN BEKALANMU ITU DAKWAT.


2 comments:

  1. ya Allah, buku ni ada aku nampak tadi jual kat MPH. memang mahal..wah, tak sangka seronok kandungannnya. nak beli lah.

    ReplyDelete
  2. Reiko,

    Cepat pergi balik ke kedai buku MPH untuk dapatkan buku ni. Takut nanti akan kehabisan stok. :)

    ReplyDelete