Wednesday, August 11, 2010

RAMADAN TIBA LAGI - WAN MOHD NOH WAN HAMAT & ROSNAH ABU SAMAH


Ramadan Tiba Lagi ialah sebuah buku yang disusun khas untuk memberi panduan dalam memperkemaskan amal ibadah puasa kita pada bulan Ramadan kali ini. Sebulan berpuasa merupakan syariat Islam yang telah termaklum kewajibannya dalam agama. Namun apakah selama ini puasa kita telah sempurna?.

Jangan ditunggu Ramadhan tahun hadapan kerana tiada siapa antara kita yang mampu menjamin usia kita akan bertemu Ramadhan akan datang. Buku ini menjadi kewajipan setiap orang atau keluarga untuk memilikinya.

Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini saya ingin mengajak pembaca untuk menyelusuri helaian demi helaian buku ini yang saya rasakan ianya amat baik untuk dimiliki oleh setiap umat Islam. Buku ini boleh dijadikan sebagai buku semakan amalan kita sepanjang bulan Ramadhan ini.

Kita perlu mengambil kesempatan untuk memperbanyakkan amalan khususnya di bulan Ramadhan yang penuh berkah ini. Ramadhan datang hanya setahun sekali, oleh itu jangan kita biarkan Ramadhan berlalu tanpa diisi dengan pengisian yang berfaedah.

Buku ini mengajar kita tentang bagaimana untuk melayani dan meraikan kedatangan bulan Ramadhan. Puasa pada bulan Ramadhan ini adalah satu kefarduan daripada Allah SWT. Dalam kita berpuasa, kita berusaha menjana suatu natijah akhlak yang terpuji dan seterusnya mencapai kemuncak darjat ketaqwaan yang sebenar kepada Allah SWT.

Buku Ramadan Tiba Lagi memberi satu garis panduan untuk memandu pembaca terutama yang telah berjinak-jinak dengan puasa ini tetapi merasakan amat berat untuk mengerjakannya atas sebab persekitaran yang banyak menggoda diri.

Pertama kali melihat buku ini di Pesta Buku Danga City Mall, hati saya sudah mula tertarik untuk memilikinya. Walaupun harganya RM 28 tetapi buku ini menggunakan kertas tebal licin yang berkualiti baik dan terdapat banyak gambar-gambar berwarna dan tip-tip ibadah, keistimewaan bulan Ramadhan, peristiwa-peristiwa penting yang berlaku di dalam bulan Ramadhan, pengurusan puasa, keistimewaan buah kurma, bagaimana melaksanakan tadarus Al-Quran, resipi-resipi Ramadhan dan banyak lagi tajuk-tajuk dan ilmu-ilmu yang menarik dan bermanfaat boleh pembaca cedok di dalam buku yang baik ini. Jika pembaca ingin mengetahui isi buku ini selanjutnya, tolong jangan berlengah lagi, sila dapatkan buku ini dengan segera sebelum Ramadhan berlalu meninggalkan kita. Wallahualam.

Rasulullah SAW bersabda:

" Telah datang kepadamu bulan Ramadan, bulan yang diberkahi. Allah mewajibkan kepadamu puasa, pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan dirantai. Juga terdapat pada bulan ini malam yang lebih baik daripada seribu bulan (Lailatul Qadar), sesiapa tidak memperolehi kebaikannya maka dia tidak memperolehi apa-apa"

(Riwayat Ahmad dan al-Nasa'i daripada Abu Hurairah)



No comments:

Post a Comment