Thursday, January 28, 2010

30 WASIAT IMAM BUKHARI - ABU AHMAD YASIN

Ulama hadis yang paling terkemuka dan masyhur diantara imam-imam hadis adalah Imam Bukhari. Semenjak kecil lagi, nilai intelek Imam Bukhari telah teserlah. Beliau amat warak dan mempunyai daya ingatan yang luar biasa. Diriwayatkan bahawa semasa umur beliau belasan tahun, beliau sudah menghafal 70,000 hadis Rasulullah s.a.w.

Ketika berumur 16 tahun, Imam Bukhari pergi ke Makkah bersama ibunya untuk menunaikan Haji. Imam Bukhari terlalu seronok berada di Makkah sehinggakan beliau memanjangkan tempoh lawatan di Makkah untuk membolehkan beliau berguru dengan ulama-ulama terkemuka di Makkah.

Pada umur 18 tahun, Imam Bukhari menerbitkan bukunya yang pertama mengenai sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w, yabg bertajuk 'Al-Tarikh Al-Kabir'. Beliau menulis bukunya ini di dekat makam Nabi s.a.w dan banyak menulis pada waktu malam hari terutama ketika terang bulan.

Imam Bukhari adalah tokoh ulama penghimpun dan penyusun hadis yang paling terkemuka. Beliau digelar dengan panggilan Amirul Mukminin Fil-Hadis (pemimpin orang mukmin dalam hadis), suatu gelar hadis tertinggi.

Semasa pengembaraan beliau, Imam Bukhari hanya mempunyai satu matlamat iaitu mengumpulkan seberapa banyak ilmu yang mungkin untuk membolehkan beliau membuat pengumpulan yang terbesar tentang sunnah hadis Rasulullah s.a.w. Beliau begitu giat menulis, dan pada satu ketika beliau berkata, " Saya sudah menulis mengenai 1,800 orang, setiap satunya meriwayatkan hadis Rasulullah s.a.w dan saya hanya menulis mengenai mereka yang lulus ujian yang saya tetapkan".

Imam Bukhari mempunyai ingatan yang mengkagumkan dan sumbangannya terhadap sains dan pengumpulan hadis tidak dapat ditandingi. Beliau merakamkan hadis Rasulullah s.a.w di dalam buku 'Al-Jami Al-Sahih'. Beliau membuat penyelidikan selama 16 tahun dan meneliti 600,000 buah hadis sebelum memilih 7,525 buah hadis yang beliau berpuas hati kerana menepati takrif kesahihan yang beliau tetapkan.

Imam Bukhari pernah berkata: "Saya tidak pernah meriwayatkan sebuah hadis pun juga yang diterima dari para sahabat dan tabi'in, melainkan saya mengetahui tarikh kelahiran sebahagian besar mereka, hari wafat dan tempat tinggal mereka. Demikian juga, saya tidak meriwayatkan hadis sahabat dan tabi'in yakni hadis-hadis mauquf, kecuali ada dasarnya yang saya ketahui dari kitabullah dan sunnah Rasulullan s.a.w.

Buku ini mendedahkan kehebatan Imam Bukhari dan wasiat beliau yang termashyur, terutama yang bersumber dari kitab beliau yang terkenal, Al-Tarikh Al-Kabir.



ULAMA, PEMIMPIN, PUJANGGA DAN HUKAMA PASTI AKAN MATI. SATU-SATUNYA YANG AKAN TINGGAL HANYALAH BUKU KARYA MEREKA

Tuesday, January 26, 2010

JAJA & DIN - NOOR SURAYA

Semasa saya mengambil anak-anak saya di asrama minggu lepas kerana 'outing', mereka mengajak saya untuk ke kedai buku Badan Cermerlang, Plaza Angsana, Johor Bahru. Ermm..belek punya belek buku, terpandanglah saya novel karya Noor Suraya yang terbaru. Apa lagi, tanpa membuang masa, terus saya sambar satu naskah, takut kehabisan stok.

Saya suka melihat ilustrasi kulit hadapan novel ini. Rasa seperti membaca novel dari penulis luar negara. Syabas untuk pihak penerbit Jemari Seni Publishing kerana perubahan yang begitu membanggakan.

Novel yang bertajuk Jaja & Din ini mengisahkan tentang seorang gadis yang bernama Jaja yang merupakan anak seorang doktor. Jaja dibesarkan dengan segala kemewahan dan kasih sayang. Jaja bekerja disebuah syarikat pengiklanan antarabangsa. Walaupun Jaja serba cantik, namun dia masih belum mempunyai kekasih.

Plot dikembangkan lagi apabila Jaja ternampak gambar seorang anak muda yang sedang berteleku di atas sebuah pusara dengan kusyuknya. Gambar 'candid camera' itu telah dirakam oleh teman baiknya yang bernama Suhaimi.

Anak muda yang sedang berteleku di atas pusara itu bernama Din atau nama sebenarnya Ustaz Burhanuddin Al-Helmi, lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir. Tanpa diduga Jaja telah jatuh cinta pandang pertama kepada Ustaz Din hanya dengan memandang gambar itu.

Kerana rasa cinta Jaja yang mendalam terhadap Ustaz Din, Jaja sanggup menyelidiki diri Ustaz Din dan meminta ibu bapanya untuk meminang Ustaz itu. Persoalannya, sanggupkah Jaja memilih untuk hidup zuhud disamping Ustaz yang dicintainya itu?.

Jika mahu tahu cerita selanjutnya, sila dapatkan novel ini. Semasa saya membaca novel ini, tiba-tiba saja hati saya berasa sedih kerana tergambar akan kecekalan hati Jaja yang kurang didikan agamanya bertekad untuk berubah diri demi cintanya terhadap Ustaz Din. Ustaz Din pula, dengan begitu sabar, mendidik dan mentarbiah isterinya dengan penuh berhemah.



Semakin banyak kita membaca, semakin banyak timbul persoalan diminda kita. Oleh itu, teruskan bacaan anda sehingga temui jawapannya

Monday, January 25, 2010

TENGGELAMNYA KAPAL VAN DER WIJCK - HAMKA


Novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck adalah karya Profesor Doktor Hamka yang memang sudah tersohor. Novel ini mengisahkan tentang seorang lelaki yang bernama Zainuddin. Zainuddin berketurunan Minangkabau tetapi dibesarkan oleh keluarga Bugis. Zainuddin seorang yang miskin tetapi dia jatuh cinta kepada Hayati yang merupakan anak dari keluarga kaya.

Oleh kerana perbezaan darjat dan harta benda yang amat ketara, percintaan Zainuddin terhadap Hayati terhalang. Plot dikembangkan lagi dengan menceritakan betapa merana dan melaratnya hidup Zainuddin setelah cinta sucinya untuk menjadikan Hayati sebagai isteri, ditolak oleh keluarga Hayati. Hayati dipaksa berkahwin dengan Aziz yang lebih berharta dan berpendidikan.

Tema cinta, kesetiaan dan pengorbanan terdapat di dalam novel ini. Meski hayati sudah berkahwin, tetapi apabila Zainuddin mengetahui yang Hayati ditimpa kesusahan, lantaran kasih dan cintanya yang tetap utuh untuk Hayati, Zainuddin sanggup berkorban tanpa ada sekelumit rasa dendam dan benci dihatinya.


Ini sebuah kisah cinta yang menyayat hati yang melibatkan dua jiwa. Yang melibatkan darjat, pangkat, harta, nafsu, cinta dan kesetiaan. Di dalam dunia hari ini, masih adakah lagi lelaki seperti Zainuddin?. Wallahulam. Cerita diakhiri dengan peristiwa yang memilukan tentang Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Siapa yang berada di kapal itu semasa tragedi yang berlaku ke atas kapal itu?. Jika mahu tahu kisah selanjutnya, sila dapatkan novel ini dengan segera.




MEMBACA KARYA DARI PENULIS YANG BAIK, MENJADIKAN AKHLAK KITA BERTAMBAH BAIK DIMASA HADAPAN

Sunday, January 24, 2010

KEMBANG TAK JADI - ELIAS HJ IDRIS

Model Mongolia, Etontanya Seribunga kecundang di tangan lelaki. Sariah pula putus tunang dengan juara lagu Alam Fantasi. Semuanya mengajar erti sebuah cinta yang rapuh. Namun Sariah bangkit dari kekecewaan itu. Dia membina kejayaan dan memintas setiap usaha Marwan World.

Sementara itu, gejala murtad dan penghinaan agama menjadi-jadi. Christina Leo pula terlibat dengan Ladies In Islam dalam gagasan sesat Islam liberal.

Ermmm....bila saya membaca sinopsis di belakang novel ini, seakan ada persamaan dengan karaktor orang-orang tertentu tetapi saya tidak mahu mengulas lebih lanjut. Jika pembaca ingin tahu, cerita apa yang terkandung di dalam novel Kembang Tak Jadi ini, silalah dapatkan novel ini dengan segera. Rasanya sukar juga untuk mendapatkan novel ini. Sebab setahu saya , saya tidak pernah nampak novel ini lagi di kedai-kedai buku yang selalu saya pergi.

Novel ini diterbitkan pada tahun 2007. Dari segi pengolahan cerita, ianya nampak menarik dan setiap rentetan cerita dijalin dengan begitu baik sekali. Kadang-kadang saya terhenti sebentar dan berfikir sejenak tentang hal-hal yang digemburkan di dalam novel ini. Rasa terkejut juga ada semasa sedang membacanya.

Apa-apapun syabas kepada penulis novel ini iaitu Elias Hj Idris. Saya memang meminati hasil karya beliau sejak dari dulu lagi. Karya beliau yang bertajuk 'Kehilangan' benar-benar membuat saya menangis. Kisah percintaan Azman yang tidak kesampaian.




HANYA DENGAN TULISAN, MANUSIA BOLEH TERTAWA DAN MENANGIS. OLEH ITU, BACALAH BUKU KERANA TERDAPAT BANYAK TULISAN DI DALAMNYA

Thursday, January 21, 2010

THE WAY WE LIVE - STAFFORD CLIFF


Hari ini saya akan membicarakan tentang buku yang bertajuk The Way We Live. Buku setebal 479 muka surat ini menggunakan kertas berkualiti gloss paper yang agak tebal juga. Setiap muka suratnya mengandungi gambar yang berwarna-warna. Di dalam buku ini terdapat gambar-gambar perbandingan tentang cara hidup manusia samaada yang tinggal di bandar atau di desa.

Sesiapa yang tidak suka membaca, bolehlah dapatkan buku ini kerana gambar-gambar yang berwarna-warni di dalam buku ini melebihi artikel yang perlu dibaca. Ermmm...tidak hairanlah jika harga buku ini menjejak ke angka ratusan ringgit. Oleh kerana saya memang berminat untuk mengetahui cara hidup masyarakat di seluruh dunia, ini mendorong saya untuk membeli buku ini di TIMES tanpa berfikir panjang. Yang pastinya, saya tidak merasa rugi sedikit pun.




Ini adalah sebahagian contoh-contoh gambar yang terdapat di dalam kandungan buku ini. Perbandingan perpustakaan yang diwujudkan di rumah-rumah seluruh dunia. Saya memang tidak boleh melihat susunan buku-buku yang cantik ini. Saya boleh bayangkan bahawa sayalah yang berada disana sambil ditemani buku-buku yang cantik dan harum.



Ini adalah gambar gerai-gerai kecil yang ada di seluruh dunia. Bagaimana mereka menghasilkan pendapatan dengan berjualan sayur-sayuran dan buah-buahan. Nampak sungguh kreatif cara mereka menyusun barangan yang diniagakan.



Ini adalah gambar kedai-kedai kecil yang terdapat di kaki lima bangunan. Nampaknya kedai-kedai ini sudah uzur tetapi penampilan dan cara susun atur setiap barangan sungguh menarik hati pelanggan untuk singgah di kedai mereka. Ermm....saya suka kedai yang menjual beg anyaman itu. Jika tidak silap saya, itu di negara Morocco.

Terdapat juga gambar kedai menjual buku-buku terpakai. Kedai buku itu lokasinya di India. Saya pernah membaca sebuah artikel yang menceritakan tentang kehidupan penjual-penjual buku terpakai di negara India. Seronok membaca kehidupan mereka yang bergelumang dengan buku-buku yang bisa menjana pendapatan mereka sekeluarga.

Yang paling menarik, mereka mengetahui semua kandungan buku-buku yang mereka jual itu. Pelanggan tinggal menyebut sahaja buku apa yang mereka cari dan si penjual yang arif itu akan mendapatkan 2 atau 3 atau 5 naskah-naskah yang berkaitan dengan permintaan pelanggan mereka, sehinggalah pelanggan itu berpuas hati dan pulang tidak dengan tangan kosong. MasyaAllah...terharu ya dengan layanan yang sebegitu. Di Malaysia, wujud ke penjual buku seperti itu?. Wallahulam




Haaa...yang ini pula adalah aktiviti harian masyarakat dunia. Benar-benar menarik. Gambar disebelah kanan, kaum wanita yang sedang bergotong royong itu adalah di Romania. Dan gambar 2 orang lelaki yang sedang berdiri itu di Britain. Saya suka melihat gambar seorang wanita tua yang sedang menenun kain menggunakan cara tradisional. Saya rasa macam hendak terbang ke sana untuk merasai kehidupan masyarakat dunia terutama sekali yang tinggal di desa.


Ini adalah contoh rumah-rumah yang berkonsepkan senibina Arab Moore dan Morocco. Senibina seperti ini banyak terdapat di Andalusia, Sepanyol.

Sebenarnya terlalu banyak gambar tentang cara hidup masyarakat dan pelbagai aktiviti harian mereka boleh pembaca lihat melalui buku ini. Walaupun harganya mahal, saya rasa berbaloi memilikinya. Anda, bila lagi?.


TAHUKAH ANDA, DENGAN MEMBACA BUKU, KITA BISA MENAKLUK DUNIA?

Monday, January 18, 2010

MARI BELAJAR BAHASA INGGERIS CARA MUDAH - NOR BI ABD. RAHMAN


Buku ini sesuai untuk kanak-kanak yang mahu belajar tentang asas nahu Bahasa Inggeris. Sesuai sangat untuk kanak-kanak yang bersekolah tadika dan Sekolah Rendah (1,2,3).
Cara penyampaian dan pengolahannya sangat mudah dan praktikal. Banyak terdapat ilustrasi di dalamnya.




Buku ini telah ditulis khusus untuk para pelajar serta para individu yang ingin menguasai asas-asas Bahasa Inggeris. Bahasa yang digunakan senang untuk difahami. Pelajar-pelajar di Sekolah Menengah Rendah (Tingkatan 1,2,3) dan Tahap 2 Sekolah Rendah (Kelas 4,5,6) digalakkan untuk mengguna buku ini. Selain dari guru, ibubapa serta penjaga yang mempunyai pengetahuan Bahasa Inggeris juga digalakkan untuk mengguna buku ini sebagai bahan pengajaran tambahan di rumah.




Buku ini adalah sambungan dari buku di atas (Easy English). Sesiapa yang berkeinginan untuk memantapkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris mereka, bolehlah menggunakan buku ini.

Pendekatan langkah demi langkah yang dipaparkan di dalam buku ini dapat memberi panduan berguna dan pengalaman yang menyeronokkan kepada sesiapa saja yang berminat untuk belajar atau menguasai Bahasa Inggeris .


RUGILAH MANUSIA YANG HANYA MENGETAHUI SATU BAHASA KERANA TERDAPAT BANYAK BUKU YANG DITULIS DI DALAM BAHASA YANG BERBEZA

Sunday, January 17, 2010

THE BOOK OF SALADIN - TARIQ ALI

The Book Of Saladin atau Kitab Salahuddin adalah memoir fiktif Salahuddin Al-Ayyubi saat memimpin kaum muslimin merebut kembali kota suci Yerusalem yang dinarasikan secara akrab, lugas dan terkadang nakal oleh seorang tokoh Jurutulis rekaan. Kisah mengalir di tiga kota utama kekhalifahan Islam pada masa itu iaitu Kairo, Damaskus dan Yerusalem. Dengan detail yang memukau, penulis buku ini, Tariq Ali berusaha menyingkap kembali kisah Perang Salib berabad-abad silam dan meramunya dengan kisah hidup tokoh-tokoh imginasi yang membingkai novel ini.

Novel sejarah ini berhasil menyelusuri akar konflik berabad-abad antara peradaban Islam dan Barat, dihiasi kisah cinta penuh gelora, intrik politik dan kronik sejarah yang kaya.

Kitab Salahuddin merupakan sebahagian dari tetralogi novel Tariq Ali mengenai persinggungan panjang antara Peradaban Kristian Barat dan Dunia Islam. Tiga buku lainnya adalah Shadows of Pomegranate Tree (Iman Dan Cinta Di Bawah Bayang-Bayang Pohon Delima), The Stone Woman ( Sang Perempuan Batu) dan A Sultan In Palermo (Seorang Sultan Di Palermo).

Saya mengambil masa yang agak lama untuk menghabiskan bacaan novel ini. Ada kalanya saya mengulang membaca beberapa kali bab tertentu yang tidak saya fahami. Cerita berkenaan kesatriaan dan peperangan pada pendapat saya amat berat juga kerana ianya menceritakan tentang strategi peperangan zaman dahulu yang melibatkan tentera berkuda, serangan anak panah, pedang dan sebagainya. Semasa membaca buku ini, tiba-tiba saya terbayangkan gambaran tayangan filem Barat yang begitu popular iaitu Lord Of The Ring.

Kitab Salahuddin ini mengisahkan tentang seorang Jurutulis Peribadi Sultan Salahuddin Bin Ayyub yang bernama Ibnu Yakub. Sultan sangat mengasihi Ibnu Yakub yang berbangsa Yahudi ini. Sultan Salahuddin menitahkan agar Ibnu Yakub menulis kisah riwayatnya dari semenjak kecil hinggalah beliau meninggal.

Setiap hari masa Jurutulis Peribadi Sultan ini banyak dihabiskan di istana untuk mencatat dan menulis apa-apa sahaja peristiwa yang berlaku yang melibatkan peribadi, kehidupan di istana dan peperangan yang segalanya menyentuh tentang kisah Sultan yang baik ini. Berbagai-bagai peristiwa lucu, sedih, mengerikan dan mengaibkan telah dicatat oleh Ibnu Yakub.

Keseluruhan novel ini amat menarik dan jujur. Bila membacanya, tiba-tiba timbul persoalan di benak saya, benarkah peristiwa sedemikian wujud?. Adakah manusia yang berperangai begitu?. Bagaimana sensetiviti masyarakat dahulu apabila berhadapan dengan suasana yang taboo dan tidak normal itu?. Masih wujudkah lagi kaum-kaum yang sedemikian di zaman ini?

Tentu pembaca tertanya-tanya, mengapa wujud persoalan sedemikian di benak saya. Apakah cerita sebenar di sebalik Novel Kitab Salahuddin?. Ermmm...jika pembaca mahu tahu, sila dapatkan buku ini dengan segera kerana anda perlu membacanya sendiri untuk mengetahui jalan cerita selanjutnya. Saya tidak mengulas terlalu panjang di sini kerana terdapat banyak persoalan umpama kekusutan benang yang perlu dirungkaikan oleh pembacaan dan pemikiran si pembaca itu sendiri. Wallahualam.


MEMBACA PERLU KETEKUNAN, BILA PERLU AMBILLAH PENA DAN CATATKAN PERISTIWA YANG MENJADI PERSOALAN DI MINDA ANDA. INSYAALLAH, ANDA AKAN MENDAPAT JAWAPANNYA DI PEMBACAAN BUKU YANG LAIN

Wednesday, January 13, 2010

FILEM YANG MAMPU MEMBERI INSPIRASI KEPADA ULAT BUKU!



Assalammualaikum buat pembaca budiman yang sentiasa melayari Blog 'Jom Sewa Buku'. Hari ini saya akan membicarakan topik tentang filem-filem yang mempunyai latar dan bertemakan buku. Contohnya seperti kedai buku dan ulat buku. Sebenarnya, sebagai seorang yang mencintai buku dan sentiasa berulit dengan buku, saya kurang gemar menonton televisyen kerana rutin harian dan masa saya banyak dihabiskan untuk membaca. Dengan mengisi masa membaca buku, saya rasakan hidup saya lengkap, bermanfaat dan ada kepuasan yang sukar untuk saya gambarkan.

Namun begitu, ada juga sesetengah filem yang bisa menarik perhatian saya dan membuatkan saya menontonnya berulang kali. Filem-filem yang saya minati tentu saja filem yang berkisarkan dunia seorang penulis, penulis yang mengembara untuk mencari setitis ilham yang boleh dicurahkan ke sehelai kertas, kisah-kisah tentang ulat buku dan pencinta buku yang tegar, kisah tentang perjuangan pengusaha kedai-kedai buku kecil yang bersaing hebat dengan pengusaha kedai buku besar dan moden.

Sebagai contoh, di sini saya paparkan tentang contoh filem-filem yang mampu memberi inspirasi kepada saya untuk terus membaca dan membaca buku tanpa ada perasaan jemu dan ragu. Filem seperti Little Women ini telah saya tonton beberapa kali. Saya suka melihat adegan yang dilakonkan oleh Winona Ryder yang sentiasa berulit dengan buku dan karyanya. Di dalam filem ini, digambarkan keadaan sekeliling rumah Winona yang penuh dengan buku dan setiap malam dia akan menumpahkan ilhamnyanya di kertas. Suasana malam yang berlatarkan musim dingin sewaktu Winona menulis yang hanya ditemani sebatang lilin dan sebiji pir benar-benar mengundang rasa tenteram di hati saya. Saya dapat rasakan ketenangan dengan suasana desa seperti itu.


Filem seterusnya yang telah saya tonton berulang kali ialah filem You Have Got Mail. Filem romantik ini dilakonkan oleh Meg Ryan . Meg Ryan mengusahakan sebuah kedai buku kanak-kanak yang telah diwarisi dari keluarganya. Namun dengan kemunculan kedai buku terbesar dan mewah di bandar itu yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk pelanggan, kedai buku kanak-kanak yang diusahakan oleh Meg Ryan tidak mendapat sambutan lagi. Berbagai usaha telah dijalankan oleh Meg Ryan, namun kedai buku kanak-kanak warisan keluarganya akhirnya terhenti juga operasinya. Ermmm...begitu juga yang berlaku terhadap kedai-kedai buku kecil kita masa kini yang tidak mampu bersaing dengan kewujudan gedung buku besar.






Filem seterusnya, yang berjudul Pride and Prejudice lakonan Kiera Knightley. Saya amat suka menonton adegan semasa Kiera Knightley berjalan kaki di sepanjang perjalanan pulang ke rumahnya dengan menyeberangi sungai kecil. Sambil membaca buku, Kiera berjalan meniti jambatan batu sambil tersenyum. Berlatarkan suasana kedesaan Inggeris yang memaparkan sungai kecil yang indah, biri-biri , padang rumput yang basah dan menghijau, rumah-rumah dan pemandangan kain-kain baju yang berjemuran diampaian sedang berkibar kerana ditiup angin. Kehidupan desa yang sungguh menyenangkan dengan hidupnya suasana sebuk pagi apabila ibu-ibu melakukan rutin harian mereka dengan kerja-kerja dapur dan rumahtangga. Banyak kali saya putarkan adegan ini. Begitu memberi kelegaan dan kedamaian di hati saya.



Filem Notting Hill tidak kurang hebatnya dimata saya. Filem ini lakonan Hugh Grant dan Julia Roberts. Hugh Grant menjalankan perniagaan Kedai Buku Untuk Pengembara. Kehidupan lelaki ini amat simple tetapi tenang. Masanya banyak dihabiskan untuk menguruskan kedai buku miliknya. Suatu hari pelakon wanita terkenal yang dilakonkan oleh Julia Roberts telah datang berkunjung ke kedai buku Hugh Grant. Dia melayan Julia seperti pelanggan biasa kerana pada masa itu dia tidak mengenali siapa sebenarnya Julia, hinggalah dia ternampak gambar poster Julia yang terpampang di badan bas yang sedang bergerak semasa Hugh sedang berjalan di luar kawasan kedai bukunya. Ermm...ini adalah filem romantik yang saya suka dan yang semestinya ia berlatarkan dunia dan kedai buku.

Lagi satu filem yang membuatkan saya ingin menonton dan menonton lagi ialah filem Sabrina lakonan Julia Ormond dan Harrison Ford. Filem ini juga adalah filem romantik yang ada sedikit menyentuh tentang kehidupan ulat buku. Saya tertarik dengan watak bapa Sabrina yang bekerja sebagai pemandu peribadi sebuah keluarga kaya. Bapa Sabrina adalah ulat buku. Dia sanggup mengabdikan dirinya untuk bekerja dengan keluarga kaya itu hanya kerana dengan melakukan pekerjaan itu dia mempunyai banyak masa untuk terus membaca. Bagus untuk dijadikan pedoman kepada sesiapa yang bekerja sebagai pemandu. Samada pemandu peribadi, lori, bas , teksi dan sebagainya.

Berbalik kepada filem Sabrina ini, di dalam filem ini digambarkan kehidupan bapa Sabrina yang dikelilingi dengan banyak buku. Buku-buku yang sudah terlalu banyak itu tidak cukup untuk dimuatkan di rak-rak buku yang telah penuh. Pemandangan buku-buku yang diletakkan dimeja, lantai, kerusi, tangga dan di setiap ruang merupakan pemandangan yang begitu cantik di mata saya. Selepas pulang bekerja, bapa Sabrina akan duduk di sofa kecil atau' gradfather chair' kegemarannya dan menyambung pembacaan buku hinggalah ke larut malam.

Rutin harian bapanya, mengundang pertanyaan kepada Sabrina. Mengapa bapanya memencilkan diri dan sanggup bertahan dengan kerjaya sebagai pemandu demi untuk terus membaca. Ermmm..bapa Sabrina tersenyum dengan pertanyaan anak gadisnya itu, dan tanpa disangka keesokannya dia menyerahkan cek bernilai jutaan kepada anak gadisnya itu. Saya terkesan dengan kata-katanya kepada Sabrina. Katanya, dengan menjadi seorang pemandu dari muda hingga ke tua dan hobinya yang suka membaca dan mengumpul bukulah telah menjadikannya jutawan dan tabungan wang itu telah disimpan untuk masa depan Sabrina dan selebihnya wang itu masih tersisa untuk sara hidupnya selepas berhenti dari pekerjaannya nanti. Benar-benar filem yang mampu memberi inspirasi kepada saya.

Akhir sekali, timbul persoalan dibenak saya, mengapa pengusaha-pengusaha filem kita tidak mahu membawa tema filem yang sebegini?. Tidak habis-habis dengan filem-filem yang bertemakan mat rempit, bohsia dan gejala-gejala sosial yang lain. Tidak bolehkah karyawan filem kita, memikirkan untuk membuat filem-filem yang bisa menyedarkan penonton betapa hidup ini terlalu indah dan rugi jika digunakan untuk perkara-perkara yang tidak bermoral seperti itu. Takut-takut nanti masyarakat dunia lebih mengenali rakyat Malaysia dengan pandangan yang buruk saja kerana pada pendapat saya filem sepatutnya mengangkat martabat bangsa kita dengan menunjukkan kehebatan yang ada pada masyarakat kita, khususnya masyarakat Malaysia. Wallahualam..


PERANAN FILEM SAMA PENTINGNYA DENGAN BUKU. FILEM YANG BAIK AKAN MEMBERI INSPIRASI KEPADA SI PENONTON.

Tuesday, January 12, 2010

BUKU INI BANYAK FAEDAHNYA UNTUK SEMUA - FAISAL TEHRANI DAN NISAH HARON

KARYA NAN INDAH - FAISAL TEHRANI

Buku ini ditulis khusus untuk mereka yang mahu memahami aspek-aspek penulisan kreatif. Setiap perkara daripada mendapatkan idea, menimbulkan rasa, menerapkan falsafah dan fikrah, menghidupkan cerita, mencipta watak, gaya bahasa yang harus digunakan dan pantang larang dalam penulisan disebut dengan jelas dalam bahasa yang mudah difahami.

Buku ini juga dapat menjawab banyak persoalan mengenai bentuk karya dan memahami cara untuk menulis bahkan membaca sesebuah karya sastera yang dianggap kompleks. Sembilan buah cerpen Faisal Tehrani yang menarik menjadi contoh perbincangan dan perbandingan.


KARYA KITA HAK KITA - NISAH HARON

Hak cipta adalah harta intelektual pengkarya yang perlu dilindungi daripada ciplakan atau perlanggaran hak cipta, tidak mengira sama ada diterbitkan di media cetak, di media penyiaran ataupun di internit. Fahamilah kontrak dan royalti penerbitan sebelum menandatangani perjanjian dengan penerbit.

Ketahuilah tempoh perlindungan hak cipta bagi sesuatu karya dan pewarisan royalti yang dibolehkan oleh undang-undang. Ingat, apapun isi kandungan perjanjian dengan penerbit, hak moral pengkarya sentiasa terpelihara.

Hak cipta pengarang bersama, hak cipta karya terjemahan, kebebasan berkarya, kepentingan logo dan penerbitan sendiri karya merupakan antara aspek penting yang perlu diketahui.

Sebenarnya kedua-dua naskah buku ini saya beli di Pesta Buku Antarabangsa di PWTC 2008. Saya suka membaca buku-buku berkenaan panduan penulisan. Jika tidak silap, saya mempunyai 10 buah buku panduan penulisan seperti buku-buku ini. Buku-buku seperti ini baik untuk dijadikan rujukan kepada sesiapa saja yang berminat dalam dunia penulisan. Tidak dinafikan nama-nama besar seperti Faisal Tehrani dan Nisah Haron sudah menggungguli dunia penulisan masa kini. Jadi, tidak salah jika kita mengutip ilmu dan belajar dari mereka yang sudah mahir dan mampat dengan selok belok dunia penulisan.


ORANG YANG SUDAH TERLALU BANYAK MEMBACA, SUATU HARI NANTI, MEREKA PASTI AKAN MENULIS!

Monday, January 11, 2010

BUNTAT SELEPAS BALIK DARI MAKKAH - YAHAYA AWANG


Buntat Balik Dari Makkah adalah cerita rekaan, sambungan daripada buku pertama Buntat Mengembara Ke Makkah. Kisah anak terbiar yang dilahirkan sebelum perang Jepun, mengalami pahit getir zaman Jepun, selepas Jepun, zaman menuntut kemerdekaan, darurat dan seterusnya zaman selepas merdeka.

Ditakdirkan sekembali Buntat dari Makkah, banyak perubahan atas dirinya yang telah berlaku dari segi akhlak, sikap, cara berfikir dan lain-lain. Dia bertindak dengan berani, tegas, dinamik dan kreatif untuk mengubah nasibnya dan nasib adik-adiknya yang yatim piatu.

Buntat berminat dalam bidang Sains Pertanian dan dia mencebur diri dalam bidang ini. Atas daya usahanya dia ditakdirkan menjadi usahawan yang berjaya. Dalam usia empat puluhan, dia menjadi jutawan yang dihormati lagi disanjungi kerana akhlak, budi bahasa dan tingkah lakunya yang istimewa. Buntat banyak membantu keluarga miskin dengan teori ekonominya, "Banyakkan bubu ikan. Jangan bergantung atas sebuah bubu sahaja". Untuk mengetahui rahsia kejayaannya, bacalah Buntat Selepas Balik Dari Makkah. Pembaca akan terhibur dengan kisah-kisah lucu yang dialaminya.



MENGAPA HARUS BERMURAM DURJA, BERSEDIH HATI, KERESAHAN?. AMBILLAH SEBUAH BUKU DAN MULAKAN MEMBACA. SEMOGA SEGALA GUNDAH GULANA YANG MELANDA HATIMU BERANSUR PERGI

Sunday, January 10, 2010

BUNTAT MENGEMBARA KE MAKKAH - YAHAYA AWANG


Novel ini mengesahkan tentang seorang budak lelaki yang bernama Buntat. Buntat kehilangan kasih sayang ibu bapa sejak kecil. Dia kerap dimarah, dirotan dan dipukul menyebabkan hatinya menjadi keras, degil dan berani. Apabila berumur 10 tahun, dia mula renggang dari rumah. Dia berdikari menguruskan dirinya sendiri.

Suatu hari dia menyeludup ke dalam kapal haji di Pulau Pinang, untuk berlayar ke Jeddah. Dia menyeludup masuk ke Makkah. Dia melihat ribuan manusia berpakaian putih bersih. Hati mereka ikhlas lagi bersih memohon keampunan dan keredhaan Allah SWT.

Buntat mulai insaf. "Apa guna hidup ini jika lupakan Allah, lupakan Rasul, lupakan ibu bapa dan lupakan diri sendiri".

Setibanya di Mekah,setiap hari Buntat berdoa di Kaabah. Allah SWT telah memakbulkan doanya. Seorang tua kaya mengambilnya menjadi cucu angkat. Dia mula mendapat nikmat layanan kasih sayang.

Buntat berdamping rapat dengan seorang guru dan ustaz yang tinggal di bangunan yang sama di Makkah dan Madinah. Berkat pimpinan datuk angkatnya, cikgu dan ustaz, Buntat menjadi budak yang baik dan mendapat haji kecil yang mabrur.

Buntat mengembara ke Jordan, Syria, Lubnan dan Mesir. Hampir empat bulan dia merantau, menjadikan dia manusia berguna. Ikutilah perkembangan Buntat yang menyeronokkan dan kadangkala mencemaskan.



TAHUKAH ANDA, DENGAN MEMBACA BUKU KITA BOLEH MENJELAJAH DAN MENAKLUK DUNIA?

Thursday, January 7, 2010

INDAHNYA HIDUP BERSYARIAT - DATO' ISMAIL KAMUS & MOHD. AZRUL AZLEN AB.HAMID


Isi buku Indahnya Hidup Bersyariat ini merupakan panduan untuk diri sendiri (fardu ain), seisi keluarga, masyarakat dan umat sejagat (fardu kifayah). Ia merangkumi syariat ketika kelahiran, fardu ain kanak-kanak, penekanan pendidikan remaja, hukum hakam muamalat (jual beli), munakahat (nikah kahwin dan rumah tangga) serta amalan zikir, doa dan adab. Semua ilmu bersumberkan Al-Quran dan hadis sahih.

Teknik penyampaian buku ini ringkas dan tepat dalam bentuk carta, jadual dan rajah. Semua doa, bacaan dan zikir boleh dibaca dan dihafal dengan mudah. Langkah amalan disampaikan mengikut turutan step-by-step. Media fotografi warna penuh digunakan untuk menunjukkan perkara yang realistik.

Buku ini seharusnya menjadi kewajipan untuk dimiliki oleh setiap rumah, pusat sumber, sekolah dan individu. Buku ini boleh dijadikan rujukan untuk semua golongan peringkat umur, boleh dijadikan sebagai modul fardu ain untuk seisi keluarga dan dibaca setiap lepas solat Subuh, Maghrib atau sebelum tidur. Boleh dijadikan sebagai bahan fardu ain mingguan di dalam tazkirah, usrah dan halaqah. Boleh dijadikan sebagai bahan untuk mengisi laman web dan blogspot. Dan akhir sekali buku ini baik untuk dijadikan sebagai hadiah.


BUKU YANG BAIK MENJADI PENYULUH HIDUP, MEMBERI SEMANGAT, MENENANGKAN JIWA DAN MENJADI INSPIRASI KEPADA SI PEMBACA.

Wednesday, January 6, 2010

MANIKAM KALBU - FAISAL TEHRANI


Cinta Ziryab mendalam sekali. Cintanya terhadap kegemilangan Melayu dalam dunia fesyen dan busana. Makna dan falsafah Melayu tercermin pada kurungnya yang cermat dikenakan.
Dia menggali semua ketakjuban dalam kesenian. Katanya, sains itu hanyalah proses sedangkan seni itu hasilnya.

Ziryab mempunyai seekor kucing yang bernama Manikam Kalbu, dan kucing montel itu penghubung cinta dua zaman. Dunia remaja yang bergelombang. Ini adalah sebuah novel humor dua zaman yang langka dalam kesusasteraan Melayu.

Gabungan antara tema, plot, watak dan perwatakan, latar dan bahasa menjadikan ManikamKalbu sebuah novel remaja yang kuat dan menarik. Novel ini dihasilkan berdasarkan pembacaan dan kajian yang mendalam.



SEDIAKAN 'FILTER MINDA' KETIKA MEMBACA

Tuesday, January 5, 2010

MAHABBAH - SHAHNON AHMAD


Membaca Mahabbah, novel Sasterawan Negara Shahnon Ahmad, terkesan bahawa novel ini memberi kelainan daripada novel-novel beliau yang lainnya yang terdahulu dan daripada novel-novel yang dihasilkan oleh novelis yang lain.

Ia tidak saja memaparkan cerita, malah mengejutkan pembaca dengan beberapa kelainan sehingga sebahagian ciri penting yang mengidentifikasikan dan memantapkan sesebuah novel telah dianggap tidak penting lagi dan dirombak dalam Mahabbah.

Kelainan persembahan Mahabbah mempunyai hubungan yang erat dengan pemusatan cerita tertumpu pada perjalanan minda ikon Endar (nama watak) sahaja. Ikon lelaki tua yang mengalami serangan penyakit Myasthenia Gravis sehingga melumpuhkan anggota badannya dan terlantar di perbaringan hanya berupaya menggerakkan mindanya pada dua persoalan yang utama.

Persoalan mengenai bangsanya yang berpecah dan bertelagah serta dirinya yang telah bersedia untuk meninggalkan alam fana dan berpindah ke alam barzakh.

Untuk memahami inti , jalan cerita dan mesej yang hendak disampaikan dalam novel ini, saya membacanya sebanyak 2 kali. Jika ada pembaca yang pernah mendengar kategori 'novel berat' dan 'novel ringan', novel Mahabbah ini saya kategorikan di dalam 'novel berat'. Membaca novel ini memerlukan kesabaran dan penghayatan yang tinggi. Di dalam pembacaan buku pun, ada cabaran. Oleh itu bersabarlah ketika membaca sesebuah buku yang nilai sasteranya tinggi.



KADANG-KALA PERASAAN JEMU WUJUD DALAM MEMBACA , NAMUN TAHUKAH KITA, BAHAWA PERASAAN JEMU ITU ADALAH CABARAN UTAMA DALAM MEMBACA. JIKA WUJUD RASA ITU, TINGGALKAN SEBENTAR BUKU YANG KITA BACA, BERPINDAHLAH KEPADA BUKU BARU YANG LEBIH MENGGEMBIRAKAN KITA. DENGAN ITU MASA KITA TIDAK PERNAH TERLEPAS DARI TERUS MEMBACA, BACA DAN BACA

Monday, January 4, 2010

HARGA SEBUAH MARUAH - AZIZI HAJI ABDULLAH


Novel ini mengisahkan tentang perjuangan rakyat kerdil di sebuah perkampungan terpencil, mengukur harga diri dan hidup mati bukan dengan harta benda dan wang. Mereka punya semangat, punya roh kehidupan yang perlu dipertahankan, air mata dan darah menjadi taruhan demi sebidang tanah warisan nenek moyang.

Terdayakah mereka menentang akta dan undang-undang yang mewakili arus pembangunan , sedangkan hidup bukan semusim sahaja, tetapi untuk selama-lamanya?. Harga Sebuah Maruah, mengusap rindu, rasa dan kecintaan petani kepada tanah mereka, kerana tanah adalah segala-galanya bagi mereka.

Novel Harga Sebuah Maruah karya Azizi Haji Abdullah telah menjadi Pemenang Sayembara Mengarang Sempena Perayaan JUBLI EMAS DBP. Novel ini mendapat tempat KEDUA.



BUKU BISA MEMBUAT KITA MENANGIS, TERTAWA DAN MENJADIKAN KITA MANUSIA HEBAT

Sunday, January 3, 2010

BEDAR SUKMA BISU - FAISAL TEHRANI


Assalammualaikum buat pembaca yang budiman. Sebenarnya saya telah lama memiliki dan membaca novel yang bertajuk Bedar Sukma Bisu karya Faisal Tehrani yang merupakan penulis yang saya minati ini. Namun oleh kerana terdapat banyak buku-buku lain yang juga pernah saya baca, jadi saya menyelang-selikan entri buku-buku karya penulis lain diantara karya Faisal Tehrani.

Memang tidak dinafikan karya-karya Faisal Tehrani benar-benar memukau hati dan menjana minda saya. Setiap inti novel yang dihasilkan oleh penulis ini berbeza dari novel-novel beliau yang lain. Namun persoalan tentang agama, akidah, akhlak dan jati diri tetap terisi dalam setiap tulisan beliau. Itu menyebabkan penulisan karya beliau menjadi kesukaan saya kerana saya teramat suka dengan sesebuah buku yang boleh menyedarkan dan mengajak pembaca ke arah memperbaiki diri dan berfikir. Menjadi lebih baik dari sebelumnya.

Baiklah, sekarang saya kisahkan tentang sinopsis novel Bedar Sukma Bisu ini. Sinopsis ini saya salin mengikut catatan di muka surat belakang novel.

Syahdu mempesonakan, kisah sebuah semenanjung. Tanahnya emas, lautannya perak berkilauan. Ada pohon dan tanam-tanaman. Ada hujan menyegarkan. Ada sungai-sungai yang airnya mengalir perlahan. Ada awan- gemawan melitupi meneduhkan. Ada binatang jinak sering bermanjaan. Ikan-ikan semuanya boleh dimakan. Ada laut yang bergelora permukaan tetapi tenang di dalam.

Wefada (nama watak) tidak pernah lelah berlayar, sejak masih anak-anak. Dia keluarga dari lautan. Wefada juga dilanda cinta muda, sejarah lampau dan kemelut saudara. Kisah pelayaran menyusuri Nusantara yang agam gemilang oleh ketamadunan Melayu-Islam.

Di sini kita akhirnya mengerti, mengapa alam emas ini sering menjadi rebutan, menjadi tarikan dan tumpuan. Menjadi sukma di hati. Sebuah saga tepu falsafah, tentang laut, bedar, niaga, perang, cinta, tauhid, peradaban dan sejarah luka. Bedar Sukma Bisu pasti menggugah rasa.

Begitulah serba sedikit sinopsis novel Bedar Sukma Bisu. Kalau masih tidak faham lagi, bolehlah pembaca dapatkan buku ini dengan segera.



JENIS BUKU YANG DIBACA OLEH SESEORANG, MENCERMINKAN PERSONALITI DAN CARA BERFIKIR SI PEMBACA ITU

Saturday, January 2, 2010

MUNAJAT CINTA 1 & 2 - TAUFIQURRAHMAN AL-AZIZY



Assalammualaikum buat pembaca Blog Jom Sewa Buku yang saya kasihi. Semoga anda semua sihat dan dirahmati Allah SWT. Nampaknya sudah lama saya tidak menulis sebarang entri mengenai buku. Sebenarnya sudah seminggu saya tiada di Johor Bahru. Selepas mengambil keputusan Peperiksaan PMR anak kedua saya iaitu Nur Anisah, kami sekeluarga telah bersetuju untuk berehat selama seminggu di nun negeri sebelah Utara iaitu di Perlis. Sambil bercuti, bolehlah juga kami sekeluarga menyambung silaturrahim dan berziarah kaum kerabat di sebelah suami saya yang berada di sana.

Alhamdulillah, hari ini untuk pertama kali di tahun baru 2010 saya akan membicarakan buku yang telah saya baca sepanjang masa percutian saya selama seminggu itu. Dalam masa seminggu itu, hanya 2 buah buku saja yang sempat saya baca kerana saya juga disebukkan dengan aktiviti lain.

Novel Munajat Cinta 1 & 2 hasil karya Taufiqurrahman ini mengisahkan tentang seorang gadis yang bernama Ruwayda atau Ayda . Ayda merupakan seorang gadis yang dikurniakan dengan kecerdasan istimewa. Dia lahir dari keluarga yang kaya, tetapi tiba-tiba dia perlu berhadapan dengan kenyataan pahit yang menimpa keluarganya. Ayahnya seorang ahli perniagaan yang terkenal, diisytiharkan muflis. Cita-cita Ayda yang mahu melanjutkan pelajaran ke menara gading terkandas. Hampir setiap hari ibu bapanya bertengkar kerana kekurangan duit, tuntutan hutang dan harta benda mereka disita oleh pihak bank.

Jiwa Ayda menjadi goncang dan tertekan. Kehidupan harmoni keluarganya tidak seperti dahulu lagi. Kebankrapan telah memporak-perandakan kebahagiaan cinta ayah dan ibunya. Di atas tanah perkuburan Paponan di daerah Perakan, Ayda ingin membunuh dirinya lantaran tidak tahan dengan tekanan jiwa yang sudah sampai ke tahap kritikal. Ayda juga membuat pilihan untuk menjadi pelacur supaya mendapat wang dengan mudah dan cepat demi untuk mengembalikan keharmonian keluarganya seperti dahulu. Ayda mengalami dilema samaada ingin menjadi pelacur atau mengakhiri hidupnya yang dirundung sengsara itu. Ayda hilang pesona iman sebagai seorang muslimah gara-gara belenggu wang, cinta, harga diri dan kebahagiaan.

Novel Islami ini penuh dengan pergolakan jati diri seorang gadis yang mencari jalan hidup, iman dan cinta. Sebuah novel yang penuh plot, ketegangan, getaran, kasih sayang dan sekali gus air mata. Persoalannya, berjayakah Ayda melalui segala peristiwa pahit dalam hidupnya demi untuk mendapat kebahagiaan yang hakiki?. Jika mahu tahu cerita selanjutnya, silalah dapatkan novel yang penuh dengan kisah tauladan ini. Semoga dengan membaca novel ini, pembaca lebih memahami akan pentingnya sifat sabar dan tawaduk. Wallahualam.



BUKU MEMPERLUAS CARA MANUSIA BERFIKIR, MENYEMPITKAN KERAGUAN DAN MEMBANGKITKAN KEYAKINAN DIRI UNTUK BERHUJAH