Sunday, January 9, 2011

NOTA HATI SEORANG LELAKI - PAHROL MOHD JUOI


Nota Hati Seorang Lelaki merupakan cetusan pengalaman, fikiran dan pemerhatian penulis terhadap manusia, haiwan dan alam sekeliling. Dengan melihat dari sudut kaca mata jiwa seorang lelaki iaitu sebagai anak, suami, ayah dan da'i. Terdapat juga isu rumahtangga, pendidikan, moral, ekonomi, politik dan sebagainya yang boleh pembaca jadikan iktibar.

Saya amat menggemari cara penulisan saudara Pahrol Mohd Juoi ini kerana selain ianya berisi ilmu, cara penyampainnya juga berkesan dengan membuat pembaca berfikir tentang sesuatu perkara yang kecil tetapi manfaatnya besar jika kita benar-benar menjadi orang yang berfikir dan ingatlah bahawa ujian hidup ialah satu didikan langsung daripada Allah swt.

Hakikatnya kehidupan ini adalah sebuah sekolah yang mana manusia, situasi dan kondisi yang menjadi punca ujian itulah sebenarnya guru kita. Sentiasa ada maksud tersirat yang perlu kita pelajari daripada semua itu. Inilah intipati yang ingin disampaikan oleh penulis dalam buku setebal 272 muka surat ini.

Saya tertarik dengan kata-kata penulis ini " Carilah kebaikan, milikilah kebaikan dan warisilah kebaikan. Kebaikan itu bukan hanya pada yang harum dan indah sahaja, tetapi juga ada pada yang busuk dan hodoh. Najis boleh bertukar menjadi baja dan penawar bisa ular datang daripada racunnya."

Dalam menuntut ilmu, penulis mengibaratkan aliran ilmu umpama aliran air. Air sentiasa mengalir dari tempat yang tinggi ke tempat yang rendah. Lebih rendah sesuatu tempat itu, maka semakin banyaklah air yang bertakung di dalamnya. Justeru itu, lembah dan lurah sering bertukar menjadi tasik, sungai dan ngarai. Maka, begitu juga dengan ilmu, perlu ditakung dengan hati yang merendah diri kerana semakin tawaduk seseorang itu, semakin banyak ilmu yang bakal dimiliki dan diwarisinya.

Saya sarankan kepada pembaca untuk membaca buku ini kerana banyak ilmu dan iktibar yang dapat kita pelajari dari buku ini. Sesungguhnya pengalaman orang lain adalah sesuatu yang berharga dan ianya boleh dijadikan tauladan mahupun sempadan untuk kita mendepani hari-hari mendatang. Belajarlah dari pengalaman orang lain nescaya kita tidak akan tersesat dalam menentukan hala tuju hidup kita. Wallahualam.


Membaca buku-buku yang baik, akan menjadikan kita manusia yang baik di masa akan datang.



No comments:

Post a Comment