Wednesday, February 9, 2011

MUKMIN PROFESIONAL - PAHROL MOHAMAD JUOI


Assalamualaikum wbt kepada pembaca budiman yang dirahmati Allah swt. Nampaknya agak lama juga saya menyepikan diri dari menulis entri buku di blog Jom Sewa Buku ini. Sebenarnya, untuk pengetahuan semua, menyepinya saya bukan kerana tidak ada buku yang hendak ditulis entrinya tetapi mood untuk menulis itu agak pudar sebentar dan saya lebih leka untuk meneruskan bacaan dari sebuah buku ke sebuah buku yang lain. Sedar tidak sedar, di sebelah saya ini terdapat 20 buah buku yang telah saya baca tetapi belum sempat saya menulis ulasannya di blog ini. InsyaAllah, saya akan cuba untuk mengeluarkan kesemua entri buku-buku ini satu persatu, walaupun ulasannya agak pendek. Sekurang-kurangnya dengan terkeluarnya entri buku-buku yang telah saya baca ini, semoga ianya menjadi pedoman atau idea kepada pembaca sekalian untuk mencarinya di kedai-kedai buku berhampiran.


Buku Mukmin Profesional : Celik Mata Hati ini menyerlahkan kembali nilai-nilai teras yang diperjuangkan oleh pejuang Islam zaman silam menerusi pendekatan kontemporari.

Persembahan buku ini diperkuatkan dengan gaya penyampaian yang saintifik dan artistik yang kini sinonim dengan dunia Barat justeru menyedari bahawa apa sahaja hikmah iaitu tidak kira ianya dari Timur atau Barat adalah milik Islam.

Isi di dalam buku ini memberi satu kerangka besar yang tepat dan jelas mengenai kehidupan. Dengannya, insyaAllah 'jigsaw puzzle' kehidupan ini akan terungkai. Hasilnya, para pembaca akan menjalani hidup ini dengan pasti dan yakin.

Setiap bab di dalam buku ini dihuraikan secara mudah dan praktikal. Walaupun subjek-subjek dalam buku ini sangat serius dan ianya bukanlah sesuatu yang popular, namun gaya dan pendekatannya yang mudah dan menarik, menjadikan buku ini mudah difahami dan dihayati.

Gaya bahasa dan ilustrasi yang meghiburkan, dinamik, kreatif dan inovatif disampaikan melalui cerita, sajak, lukisan, metafora dan kata-kata hikmah yang diselitkan akan membantu pembaca membaca buku ini dengan serius tetapi santai dan tidak membosankan.

Pada pendapat saya, buku ini amat baik untuk dimiliki oleh sesiapa saja kerana sebagai seorang muslim kita wajiblah ada ciri-ciri positif, berakhlak al-Quran dan sentiasa bersikap profesional dalam setiap keadaan. Ada orang masih bingung dalam mencari makna kehidupan dan tujuan mereka dihidupkan. Mereka terlalu lalai dalam hidup dan terus mencari keseronakan yang sementara di dunia ini.

Ada pula sesetengahnya yang mahu terus melupakan dunia hingga mereka tidak sedar yang kehidupan akhirat itu saling berkaitan dengan kehidupan di dunia kerana kehidupan di dunia ini merupakan ujian untuk mendapat tempat yang baik atau buruk di akhirat. Oleh itu, ramai manusia yang bingung tentang tujuan dan makna mengapa mereka dihidupkan di dunia ini.

Setelah membaca buku ini, saya sedar dan bersyukur kerana dilahirkan sebagai seorang yang menganut Islam kerana setiap helaan nafas, tidur dan jaga serta segala perbuatan-perbuatan yang baik jika diniatkan dengan nama Allah swt, ianya akan menjadi ibadah buat diri saya. Sesungguhnya akhlak yang baik itu adalah buah dari ibadah yang kita lakukan. Itu belum dikira ibadah-ibadah wajib lainnya seperti solat, puasa, haji, zakat dan ibadah-ibadah sunat lainnya.

Subahanallah, memang benarlah dunia ini adalah ladang untuk akhirat. Itulah pengertian zuhud yang dapat saya gali setelah membaca buku ini. Sesungguhnya manusia dijadikan Allah bukan dengan sia-sia dan sedarlah wahai pembaca betapa banyak amanah dan tanggungjawab sebagai hamba yang perlu kita laksanakan. Selagi nafas belum terhenti, selagi itulah amanah dan tanggungjawab itu sentiasa kita pikul. Terima kasih kepada Ustaz Pahrol Mohamad Juoi kerana sudi berkongsi ilmu menerusi buku Mukmin Profesional ini. Semoga usaha murni Ustaz ini mendapat keredhaan Allah swt. Ameen.




ORANG AKHIRAT ADALAH ORANG YANG PALING SIBUK DI DUNIA

4 comments:

  1. InsyaAllah menarik. Cubalah bedah buku ini. Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat menikmati sagunya :)

    ReplyDelete
  2. alhamdulillah saya dah baca buku ni sgt menarik.. yg best dapat signature penulis lagi...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya, saya sangat setuju dengan komen anda!

      Delete