Tuesday, April 5, 2011

7 LAUTAN KUCARI CINTA - NASS ALINA NOAH


Tidak mungkin aku mencintai seseorang yang aku tidak pernah kenal. Tidak mungkin aku jatuh cinta hanya dalam satu malam. - CICI

Bukan selalu rindu itu mendera sukma. Bukan selalu penantian itu menyeksa jiwa. Bukan jua selalu cinta itu meracun kalbu. Dan aku, bukanlah saudagar cinta yang meletakkan tanda harga pada kasih sayangku. - ARMANDO

Assalamualaikum buat pembaca setia blog ini. Hari ini saya akan menghidangkan pembaca dengan sebuah entri novel dari karya penulis kesayangan saya iaitu Nass Alina Noah. Tajuk novel beliau adalah 7 Lautan Kucari Cinta. Tentu ramai pembaca yang ternanti-nanti akan munculnya karya hebat daripada noveles yang prolifik ini. Baiklah, tanpa membuang masa saya akan menceritakan sedikit sinopsis novel ini.

Novel ini mengisahkan tentang seorang gadis yang bernama Cici. Cici adalah anak gadis seorang jutawan dari isteri yang kedua. Ibu Cici sudah lama meninggal dunia dan semenjak itu, Cici telah belajar hidup berdikari seorang diri dengan mengusahakan sebuah butik pakaian. Namun begitu, segala keperluan materialnya tetap dibiaya oleh papanya sehinggalah harta papanya disita oleh mahkamah kerana telah disyaki dan dituduh terlibat dalam rasuah.

Cici mempunyai seorang kekasih yang bernama Charlie. Sebenarnya Charlie ini adalah seorang lelaki buaya yang kerjanya hanya untuk bergandingan dengan anak-anak gadis jutawan demi untuk mengikis harta mereka. Oleh kerana cinta buta Cici yang mendalam terhadap Charlie, Cici tidak sedar yang dirinya sering diperalatkan oleh Charlie demi untuk kepentingan peribadi lelaki durjana tersebut. Walaupun Charlie sering melayan Cici dengan layanan yang kasar hingga ke tahap zalim, namun cinta Cici terhadap Charlie tidak pernah berubah alias terusik walau sedikit pun. Waima, seperti perempuan yang sudah terkena sihir, Cici tetap memenuhi semua permintaan tidak masuk akal Charlie walaupun permintaan itu melibatkan masa depan dan maruahnya.

Plot dikembangkan lagi dengan pertemuan Cici dan Armando disaat Cici ingin membunuh diri selepas tidak tahan dengan karenah Charlie yang selalu mengusutkan fikirannya kerana mereka seringkali bertengkar bila berjumpa. Armando adalah penyelamat hidup Cici. Tanpa sengaja dan perancangan, Cici telah membawa Armando untuk dinikahkan denganya dengan ganjaran wang RM 1 juta akan menjadi milik Armando apabila konflik dirinya dan Charlie selesai. Sebenarnya tujuan Cici bernikah secara kontrak dengan Armando hanyalah helah untuk menyakiti hati Charlie yang telah diketahuinya sedang menjalin hubungan dengan seorang gadis dari golongan elit. Cici telah menggunakan Armando untuk tujuan membalas dendamnya terhadap Charlie tanpa mengetahui siapa sebenarnya diri Armando itu.

Armando pula adalah seorang lelaki educated, berkerjaya, anak seorang jutawan dan baru saja kembali ke Malaysia setelah tinggal lama di luar negara. Armando tidak sangka yang niatnya untuk menyelamatkan nyawa seorang gadis dari membunuh diri justeru akan melibatkan dirinya ke kancah hidup yang lebih kronik. Dengan sekelip mata dan seperti dipukau, Armando mengikut saja kemahuan Cici yang telah membawanya ke rumah Pak Imam untuk upacara pernikahan mereka. Setelah bergelar suami, Armando telah menjalankan tanggungjawab dan peranannya sebagai suami yang baik. Tetapi isterinya Cici tetap tidak dapat melupakan kekasihnya Charlie.

Plot dikembangkan lagi dengan kerenah-kerenah Cici yang benar-benar menuntut kesabaran seorang lelaki. Armando pula sebagai seorang suami, tetap berperanan sebagai lelaki yang baik, romantik, bertanggungjawab, kacak, berani, tenang, selalu melemparkan senyuman dan ala-ala prince charming. Persoalannya, wujudkah lelaki yang berperibadi seperti Armando walaupun dirinya dari golongan elit?.

Sewaktu terjumpa novel ini di Kedai Buku Popular, hati saya tidak sabar untuk membaca isi novel ini. Sebagaimana pembaca tahu yang novel karya Nass Alina Noah ini kaya dengan babak-babak suspen, tragedi, romantik dan biasanya disudahi dengan 'sad ending' atau jalan cerita yang tergantung dan tiada kesudahan. Tetapi selepas membaca novel 7 Lautan Kucari Cinta ini, saya menemui kepuasan yang amat tinggi kerana kisah watak-watak utamanya diakhiri dengan kesudahan yang menggembirakan. Tidak seperti novel-novel beliau yang sebelumnya. Oleh itu sesiapa yang meminati dan menunggu-nunggu buah tangan dari penulis ini, sila dapatkan novel ini dengan segera kerana saya pasti yang kali ini, anda akan tersenyum gembira setelah menyudahkan bacaan novel ini.



BUKU BERKISAR CINTA YANG BAIK AKAN MENJADI BOOSTER BUAT DIRI PEMBACA

4 comments:

  1. Saya juga peminat novel karya Nass yang lain daripada penulis yang sedia ada. Membaca komen puan terhadap novel ini membuatkan saya tidak sabar untuk membacanya. Terima kasih atas sedikit maklumat yang diberikan:)

    ReplyDelete
  2. Sama-sama. Bolehlah dapatkan buku karya penulis ini dengan segera ya.

    ReplyDelete
  3. baru je beli..belum habis bace lg...mmg sassspennn....hehe, like Nass alina noah

    ReplyDelete
  4. Sila baca dengan segera. Plotnya sungguh suspen!. Tidak rugi jika menjadikan novel ini sebagai koleksi peribadi anda.

    ReplyDelete