Monday, November 21, 2011

7 HARI MENCINTAIKU - SITI ROSMIZAH


Novel setebal 1048 muka surat ini sudah lama saya beli dan baca. Namun saya tidak berkesempatan untuk mengulas berkenaan novel 7 Hari Mencintaiku ini kerana kekangan masa. Nampaknya hari ini, hati saya terpanggil untuk membicarakan kisah di dalam novel ini. Sebenarnya boleh dikatakan saya terhibur semasa membaca novel yang tebal ini kerana penulis sangat bijak menggarap cerita dan untaian peristiwa ke satu peristiwa sangat menarik hingga saya tidak sedar yang saya telah berjaya menamatkan pembacaan novel ini hanya dalam masa 2 hari sahaja. Mungkin buat pembaca novel yang ekstrem, mereka boleh menyudahkan pembacaan hanya dalam masa satu hari sahaja. Bagi saya pula, saya perlu merehatkan diri untuk menarik nafas kerana isi di dalam novel ini terlalu banyak konflik yang menyakitkan hati dan hal itu membuatkan saya berasa sakit hati dan jiwa menjadi kacau.

Tahniah kepada penulis kerana beliau telah berjaya memanipulas perasaan pembaca hingga saya sendiri tidak pasti tentang perasaan saya semasa membaca novel ini. Sekejap ada perasaan marah, sekejap lagi perasaan marah itu bertukar dengan emosi sedih hingga mengalir airmata. Kredit buat penulis kerana novel tebal ini tidak jemu dibaca dan plotnya tidak meleret-leret. Baiklah pembaca sekalian, jika anda ingin mengetahui serba sedikit tentang isi di dalam novel ini, di sini saya coretkan ringkasannya. Ambil nasihat saya ini, tidak rugi jika anda menjadikan novel ini sebagai koleksi peribadi rak buku anda kerana tema, plot dan wataknya sangat mengujakan pembaca. Lagipun watak heronya yang berpendidikan, kacak dan penyabar menjadi nilai tambah untuk novel ini. Saya pasti tentu pengumpul novel di luar sana telah mendapatkan novel ini.

Novel ini mengesahkan tentang Doktor Khuzairi yang dijadikan bidan terjun untuk menikahi seorang gadis bernama Mia Adriana. Demi untuk menyelamatkan nyawa dan rasa malu ayah Mia Adriana, Doktor Khuzairi sanggup menikahi Mia untuk dijadikan isteri. Mia yang bersifat angkuh dan sombong terpaksa menerima Doktor Khuzairi apabila melihat keadaan ayahnya yang tenat terkena serangan jantung akibat terkejut dengan kejadian pengantin lelaki yang tidak hadir pada hari pernikahan anaknya. Mahu tidak mahu, Mia terpaksa menerima usul ayahnya untuk bernikah dengan Doktor Khuzairi yang pada itu merupakan tetamu mereka.

Sebenarnya Doktor Khuzairi sudah lama menyimpan perasaan cinta terhadap Mia. Tetapi dia tidak pernah menunjukkan perasaannya itu terhadap wanita itu kerana dia sedar yang Mia tidak akan pernah menerimanya. Waima sebagai kawan pun belum tentu gadis itu mahu menerimanya. Setelah selamat bernikah dengan Mia, maka bermulalah episod yang menyakitkan hati, sedih, benci, kasihan dan pelbagai perasaan yang semuanya berpunca dari Mia yang telah menjadi isteri kepada Doktor Khuzairi. Kejadian dengki dan khianat juga saling bertimpa-timpa.

Doktor Khuzairi merupakan lelaki dan suami yang sangat penyabar dan penyayang. Dia sanggup menerima apa saja kelakuan buruk yang dilakukan isterinya terhadap dirinya. Sayangnya Doktor Khuzairi terhadap Mia umpama menatang minyak yang penuh. Apa saja perkara buruk yang dilakukan oleh Mia tetap dipandang baik dimatanya akibat dari rasa cintanya terhadap isterinya itu.

Jujur di sini, ingin saya menjelaskan bahawasanya saya tidak sukakan lelaki atau suami yang berperangai seperti Doktor Khuzairi ini. Walaupun watak ini adalah watak rekaan penulis sahaja, namun saya rasa realitinya wujud lelaki yang jenis ini. Pada pendapat saya, lelaki yang bersikap seperti Doktor Khuzairi ini adalah lelaki yang telah hilang prinsip hidup dan terlalu diperhambakan oleh rasa cintanya terhadap seorang wanita hingga dia tidak dapat bertindak rasional mengikut situasi dan sikapnya itu umpama lalang yang mudah kehilangan arah kerana dia terlalu bergantung kepada angin yang meniupnya. Apa pula kata anda setelah membaca novel ini?. Jika anda belum membacanya, sila dapatkan novel ini dengan segera.


MEMBACA BUKU YANG BAIK BOLEH MENINGKATKAN JATI DIRI SESEORANG




6 comments:

  1. mia 2 nyesal kot,tp die ad ati nk kawin len sbb mak tiri die!!!!!!!!!ksimpulnnye die hilg ptimbgn sbb mak tiri die bknnye MIA ADRIANA!!!!!!!!! Ya Allah gramnyer aq.....

    ReplyDelete
  2. Bawa banyak-banyak bertenang atie-ieqa. Tak usah nak geram-geram sangat walaupun saya pun turut terkena tempias geramnya :)

    ReplyDelete
  3. Novel ni merupakan salah satu novel terbaik yang saya pernah baca.. Hehe.. Saya rasa memang tak rugi membeli karya-karya Siti Rosmizah kerana semuanya hebat!! Kalau nak diterangkan secara terperinci memang tak muat.. hehehe..

    ReplyDelete
  4. kak siti saya nak jumpe mia adriana n khushairi.....saya suka cara khusyairi n mia adriana...boleh tak saya jumpe kak dengan mereka berdua

    ReplyDelete