Sunday, April 29, 2012

TRAVELOG MINDA TAJDID - MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN





Assalamualaikum WBT

Travelog Minda Tajdid ini adalah catatan dari hati seorang tokoh yang menjadi rujukan masyarakat masa kini. Mengulas isu yang dikemukakan berpaksikan al-Quran dan Hadis, menjadikan pendapat Dr.Mohd Asri Zainul Abidin  ini relevan sepanjang zaman. Buku ini menghimpunkan artikel yang beliau tulis ketika menjalani cuti sabatikal di United Kingdom. Selama lebih kurang lapan bulan berada di sana, beliau berkesempatan melawat beberapa buah negara Eropah yang lain. Artikel-artikel yang terdapat dalam buku ini adalah hasil himpunan tulisan beliau yang telah dikeluarkan di laman web beliau dan pernah disiarkan di media tempatan.

Dr Mohd Asri Zainul Abidin adalah merupakan pensyarah di Universiti Sains Malaysia. Kerajaan Perlis telah meminjam beliau daripada USM bagi mengisi jawatan Mufti Kerajaan Negeri Perlis. Apabila tamat tugas sebagai Mufti di Perlis, beliau membuat permohonan ke United Kingdom bagi menjalani cuti. Semasa bertugas sebagai Mufti, beliau kerap menulis dan setiap minggu artikel tulisan beliau tersiar dalam akhbar perdana. Setelah sampai ke United Kingdom, beliau terus menyambung penulisan. Menulis dan mencurah pemikiran sudah menjadi rutin harian beliau.

Dengan membaca buku ini, pembaca dapat menyelami luahan rasa penulis tentang sesuatu isu yang dibincangkan. Selain itu, dengan membaca buku ini, pembaca dapat meluas andaian dan tafsiran pada sesuatu perkara. Dapat menukar cara berfikir atau sudut pandang dalam melihat sesuatu. Alhamdulillah, saya berjaya menamatkan pembacaan buku ini hanya dalam beberapa jam sahaja kerana semua artikel yang dimuatkan di dalam buku ini banyak memberi pengetahuan kepada saya. Penulis telah berjaya menjentik minda saya untuk berfikir dengan menggunakan cara pandang yang berbeza.

Terdapat banyak isu-isu masa kini yang telah dikupas dan diberi pencerahan dengan baik. Buku ini sangat berguna untuk dijadikan santapan mata dan minda kita. Bukan semua yang pernah atau masih bergelar Mufti sanggup menulis dan mendekatkan diri dengan orang ramai melalui penulisan seperti beliau. Oleh itu, sebagai manusia yang memerlukan bimbingan, wajarlah kita menghargai usaha murni beliau ini dengan memberi sokongan padu dan menghargai perjuangan beliau dalam bidang dakwah dan penulisan ini kerana dengan cara ini kita akan mendapat ilmu dan manfaat yang lainnya. Wallahulam.



MEMBACA BUKU-BUKU KARANGAN ULAMA SAMA SEPERTI KITA SEDANG BERINTERAKSI DENGAN MEREKA. OLEH ITU KITA AKAN MERASAKAN DIRI KITA SANGAT DEKAT DENGAN MEREKA. 



2 comments:

  1. Alhamdulillah, sila dapatkan buku ini dengan segera :)

    ReplyDelete