Tuesday, August 21, 2012

TUHAN SEDANG MENGUJI KITA - USTAZ KAZIM ELIAS



Assalamualaikum WBT

Ujian, bahasanya bisu. Hadirnya tidak terduga. Ada kalanya ujian itu bertandang untuk membersihkan dosa. Ada kala untuk mengajak kita bertanya, apakah diri sudah terlupa. Ya...terlupa siapakah kita di sisi-Nya. Terlupa dari mana datangnya dan ke mana pula hala hidup kita?. Terlupa kita sebenarnya tidak punya apa-apa. Apakah kita masih ingin menderhaka pada-Nya?.

Kita bicara tentang pancaroba, kita berkata tentang malapetaka, tapi hati masih terleka. Kita tewas dalam gembira, kita tersungkur ketika derita. Namun, andai ujian itu membawa kita ke pintu kesedaran, maka ujian itu sebenarnya manis. Allah tidak pernah menjadikan sesuatu itu sia-sia. Sesungguhnya, dunia adalah tempat ujian, akhirat jua tempat kebahagiaan abadi.

Pengisian Menarik :

- Manisnya Ujian Allah
- Kala Allah Mengujimu
- Kita Lupa Ketika Senang
- Iktibar Daripada Musibah
- Cinta Itu Menyedarkanku
- Salahkah Berkahwin Muda?
- Antara Cinta Dan Kenangan
- Anakku...Siapa Sahabatmu?
- TUHAN...Berkatilah Rezekiku
- Sabarlah Melaksanakan Dakwah


Komen Saya :

Alhamdulillah, buku ini sangat baik untuk dibaca oleh semua golongan. Penuh ilmu, pencerahan dan tarbiah yang sangat baik. Juga perkongsian pengalaman oleh seorang daie yang saya yakin, semua pembaca kenal nama beliau dan pasti pernah mendengar dan menonton ceramah beliau sama ada di televisyen mahupun di DVD dan CD. Saya terlalu asyik membaca buku ini yang banyak berkisar tentang pengalaman penulis sepanjang menjadi daie yang sentiasa memenuhi masa dengan undangan ceramah dan mengadakan kelas-kelas agama. Disamping itu beliau juga mengelolakan Pusat Pendidikan Al-Barakah.

Terdapat banyak kisah tauladan yang dimuatkan di dalam buku ini dan ianya boleh dijadikan contoh untuk pembaca. Saya tertarik dengan kisah penulis yang berpeluang bertemu dengan seorang banduan yang berada di penjara selama 10 tahun. Ketika itu penulis berceramah di Taiping. Menurut penulis, semasa berada di dalam jeriji besi, banduan tersebut meneruskan kehidupan di dalam sel tahanan dengan mengisi masa  membaca kitab. Banduan tersebut telah berjaya menghabiskan bacaan beratus-ratus kitab.

Selama 10 tahun di Penjara Taiping, banduan tersebut mampu membaca lima buah kitab setiap hari. Kisah banduan ini banyak memberi inspirasi kepada saya. Saya jadi malu kepada diri sendiri kerana ada masanya saya culas dan malas mahu beristiqamah dalam membaca dan menggali ilmu. Selepas membaca kisah ini, saya lebih termotivasi dalam menanam tekad untuk terus beristiqamah dalam menuntut ilmu dan menjaga masa saya. Semua manusia dikurniakan masa 24 jam sehari. Bezanya kita dengan manusia lain adalah cara kita mengurus masa itu dengan memanfaatkannya untuk sesuatu pekerjaan yang baik demi mendapat redha Allah swt. InsyaAllah, kita mampu jika kita selalu menjadikan buku-buku yang baik seperti buku tulisan Ustaz Kazim ini sebagai tauladan dalam kita meneruskan kehidupan yang serba mencabar ini.

Terdapat banyak kisah tauladan dan tip yang boleh kita cedok dan contohi di dalam buku ini. Salah satunya adalah tips atau cara-cara untuk menghafal Al-Quran. Menurut penulis, beliau yang juga merupakan seorang hafiz mengamalkan membaca sebanyak 40 kali satu halaman Al-Quran. Walaupun telah menghafaznya, beliau tetap mengamalkan teknik membaca 40 kali untuk mengukuhkan ingatan disamping memberi fokus yang lebih kepada bacaan ulangan itu. Beliau akan pastikan membawa hafazan berkenaan di dalam solat sama ada solat sunat atau ketika menjadi imam solat fardhu berjemaah.

Kesimpulannya, bacalah buku ini kerana terdapat banyak ilmu di dalamnya dan jadikan setiap kisah yang baik sebagai tauladan, manakala kisah buruk pula sebagai sempadan dalam kita menjalani kehidupan hari ini dan akan datang. Wallahualam.




"KECELARUAN DALAM SESUATU PERKARA AKAN TIMBUL APABILA KITA MENINGGALKAN AL-QURAN DAN HADIS NABI. KETENANGAN DAN KEBENARAN AKAN MUNCUL APABILA AL-QURAN DAN HADIS NABI MENJADI PEGANGAN" 

- USTAZ KAZIM ELIAS -






6 comments:

  1. saye pon dah bace .ulang2 baca. seronok. boleh tambah ilmu skit.

    ReplyDelete
    Replies
    1. salam,saya baru bab 6.. heheh,, seronok baca,,nik betul,, saya pun setujuh

      Delete
  2. Allah kan Maha Mengetahui !!!

    BUAT APA ALLAH NAK UJI KITA ???

    Kalau ALLAH uji kita, bermakna TERSISIP KEJAHILAN pada ALLAH !!!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Allah swt Maha Mengetahui. Allah swt menjadikan ujian untuk menguji tahap keimanan dan ketakwaan seseorang. Sebab itu Allah sediakan pahala dan dosa, syurga dan neraka sebagai ganjaran atau balasan untuk manusia yang bertakwa atau kufur kepada-Nya.

      Dalam setiap ujian dan dugaan yang diturunkan kepada manusia, pasti tersisip 'hikmah' tersembunyi di dalamnya kerana Allah swt 'mengajar' manusia melalui hadirnya ujian dan dugaan itu.

      Allah swt mencipta Nabi dan Rasul dengan sebaik-baik kejadian, tetapi mengapa para Nabi dan Rasul yang paling hebat menerima ujian dan dugaan dari Allah swt?. Adakah kerana Allah itu jahil?. Nauzubillah dan astagfirullah, pastinya tidak!

      Diantara hikmah-hikmah yang tersisip di dalam setiap ujian Allah swt kepada setiap manusia ialah sebagai peringatan, pengajaran, kiffarah dan sebagainya. Pendek kata, kerana Allah swt masih sayangkan hamba-Nya.

      Dengan adanya segala ujian dari Allah swt, manusia berpeluang untuk menebus dosa mereka semasa hidup. Tidakkah itu menggambarkan betapa Allah swt jauh dari segala kejahilan?. Sesungguhnya manusia itu yang jahil kerana sikap sombong dan tidak mahu menerima dan belajar dari segala ujian yang telah Allah swt turunkan buat mereka.

      Allah swt menyuruh kita berdoa apabila ditimpa musibah sepertimana firman-Nya di dalam surah Al-Baqarah, ayat 155-156 yang bermaksud: "Demi sesungguhnya!. Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar. (Iaitu) orang yang apabila ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata, 'Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali'."

      Daripada Ummu Salamah ra, telah berkata, "Aku telah mendengar Rasulullah saw bersabda, "Mana-mana daripada seorang hamba, apabila ditimpa suatu musibah dan ia berkata; Sesungguhnya kami milik Allah dan sesungguhnya kepada-Nya kami kembali. Ya Allah..berilah balasan (baik) kepadaku pada musibah yang menimpaku dan bekalkanlah bagiku sesuatu yang lebih baik daripada musibah tersebut melainkan Allah memberi ganjaran pada musibah yang menimpanya dan membekalkan kebaikan yang melebihi daripada musibah tersebut"

      Wallahualam

      Delete
    2. sesungguhnya kita adalah sekerdil manusia ..

      Delete