Saturday, February 16, 2013

CATATAN PENGEMBARAAN SEORANG FLOWERMAN - DR SHAH IBRAHIM




Gambar hadapan buku


Gambar belakang buku



Assalamualaikum WBT

'Arus kehidupan sentiasa digelombangi kejayaan dan kegagalan. Tetapi sedarkah kita akan maksud di sebalik setiap kegagalan yang menimpa?. Apakah itu petanda supaya kita berhenti dan menyerah kalah?. Atau adakah ia sekadar ujian ke arah membina kekuatan dan ketahanan diri?. Sejauh manakah seharusnya kita berikhtiar sebelum menerima suratan takdir?. Catatan pengembaraan seorang Flowerman merungkai persoalan-persoalan di atas melalui kehidupan peribadi penulis sendiri di perantauan.'

Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman adalah sebuah novel grafik karya seorang penulis baru bernama DR Shah Ibrahim. Catatan di dalam novel ini merupakan kisah benar tentang pengalaman hidup penulis ketika tinggal di bumi United Kingdom. Ketika itu, penulis adalah seorang pelajar yang mengambil PHD. Watak utama dalam novel ini bernama Shah (penulis) yang sudah beberapa tahun tinggal di perantauan. Sebagai seorang pelajar, Shah terlalu teguh memegang prinsip untuk tidak akan bercinta dan memberi harapan kepada mana-mana gadis sebelum dia berjaya menyelesaikan pembelajarannya. Walaupun ketika itu, dia telah menaruh hati secara diam terhadap seorang gadis bernama Jasmine Farhana. Sayangnya, wanita itu mempunyai hubungan cinta dengan rakannya. Walaupun sedikit terkilan, Shah tetap meneruskan rutin hariannya belajar di waktu siang dan bekerja di waktu malam sebagai seorang pencuci.

Dua bulan kemudian, semasa majlis perjumpaan Hari Raya yang dihadiri oleh ramai pelajar, Shah telah terpandang seorang gadis berwajah jelita hingga menjadikan dia terpana sejenak. Di majlis tersebut, mereka tidak bertegur sapa tetapi selepas dua tahun, akhirnya mereka dipertemukan di sebuah majlis yang dihadirinya. Setelah Shah berjaya merisik nama gadis itu, dia terus mencari nama tersebut di ruangan sosial facebook untuk menghulurkan salam perkenalan. Rupa-rupanya gadis tersebut juga seorang pelajar dalam bidang perubatan yang bernama Lily Suryanie. Lily sebenarnya telah lama mengenali Shah secara diam.

Bermula dengan teguran di facebook, mereka meneruskan komunikasi di emel, kemudian menyambung pula ke Yahoo Messenger, bersambung ke telefon bimbit dan akhirnya bersetuju untuk berjumpa. Walaupun Shah memegang prinsip untuk tidak mahu melibatkan diri dari terjebak ke lembah cinta wanita, namun setelah mengenali Lily, hati Shah mula berubah. Kewujudan Lily membuatkan harinya bertukar ceria dan berwarna-warni. Setiap ungkapan atau tulisan Lily ketika mereka berhubungan di lama sosial mahupun ketika berjumpa, seperti memberi satu tanda yang Lily juga mempunyai perasaan yang sama terhadap Shah.

Hari berganti hari, bulan berganti bulan dan tahun baru mula menjelma. Perhubungan mereka juga berjalan dengan baik, walaupun salah seorang dari mereka tidak pernah mengungkapkan rahsia hati masing-masing. Namun begitu, kadang-kala tingkah laku atau perkataan Lily mencurigakan Shah hingga menimbulkan tandatanya. Seolah-olah ada sesuatu perkara yang sedang dirahsiakan oleh Lily.

Apakah rahsia itu?. Mengapakah Shah berperasaan demikian?. Benarkah Lily mempunyai perasaan cinta terhadap Shah?. Dan apakah pengakhiran kisah mereka?. Jika pembaca ingin tahu jawapannya, sila dapatkan novel grafik ini dengan segera di sini  http://mrflowermanstudio.com/Gallery/?page_id=464
                                                                     


KOMEN SAYA

Pertama kali melihat buku ini, hati saya sudah berkenan melihat kulit hadapan novel ini yang berwarna putih dan ada tompokan bunga yang berwarna warni di tengahnya. Kulit belakang novel ini juga mempunyai ilustrasi yang menarik karya penulisnya sendiri. Penulis ini sangat bijak kerana disamping pandai menggambarkan perasaan melalui tulisan, beliau juga mahir dalam melukis. Hal ini merupakan satu kelebihan buat diri beliau yang sememangnya juga bijak dalam akademik.

Novel grafik ini dipersembahkan dengan cukup baik sekali. Ilustrasi yang terdapat di dalam novel ini dilakarkan dengan kemas dan cantik. Tambahan lagi, penulis menggunakan kertas bermutu tinggi dan ini menjadikan lukisan itu kelihatan hidup dan dramatik dengan iringan dialog serta catatan disetiap helaian muka surat tersebut. Turut disertakan peta dan gambar asli untuk menerangkan lokasi berkenaan sesuatu peristiwa yang sedang diceritakan. Terdapat juga nota kaki untuk menerangkan sesuatu perkataan bagi memudahkan pembaca mengetahui maksudnya.

Sebenarnya, sudah lama saya tidak pernah membaca komik. Seingat saya, hanya pada zaman kanak-kanak sahaja saya membaca komik. Itupun komik bertajuk Bujal, Gila-Gila dan Gelihati. Saya teramat suka membaca karya komik Cabai berjudul Tiga Dara Pingitan. Hingga hari ini saya masih menyimpan koleksi komik karya Cabai yang telah dibukukan oleh penerbitnya.

Setelah membaca komik karya Dr Shah Ibrahim ini, saya jadi suka untuk membacanya tanpa henti. Begitu ralit saya menghadaminya kerana bahasa yang digunakan oleh penulis sangat jelas keintelektualnya. Bahkan, ada dimuatkan dialog-dialog yang menggunakan ayat Bahasa Inggeris. Golongan pelajar digalakkan untuk membaca buku seperti ini kerana selain dapat berkongsi pengalaman kisah penulis di perantauan, mereka juga dapat memahirkan penggunaan Bahasa Inggeris untuk kegunaan diri mereka kelak.

Semasa membaca permulaan kisah novel ini, saya tersenyum dan ada kalanya tergelak apabila membaca dialog-dialog spontan yang dituturkan oleh watak-watak dalam ilustrasi buku ini. Walaupun dialog-dialog atau catatan yang ditulis itu spontan tetapi tetap menghiburkan saya. Sukar untuk saya menerangkannya di sini, pembaca perlu menyelaminya sendiri.

Saya suka pada helaian cerita ketika Shah (penulis) menggambarkan perasaannya yang sedang asyik masyuk dilamun cinta. Susunan ayat yang digunakan terlihat cantik, tersusun dan terserlah kecerdikannya. Inilah ayat yang saya suka: 'Semenjak itu, aku tidak lagi dibelenggu oleh undang-undang fizik. Graviti tidak lagi mampu mengikat aku ke bumi. Alam sekeliling tersusun rapi seolah-olah menafikan kewujudan entropi. Bintang-bintang yang terukir di langit kelihatan begitu hampir buat aku kutip. Aku mula percaya tiada apa yang mustahil. Langit kini tiada sempadan'. Apabila seorang yang mahir dalam bidang kejuruteraan menterjemahkan ayat-ayat cinta ke bahasa sastera, gabungan ini nampak cantik, indah, sepadan dan sempurna.

Semasa Shah dilanda kekecewaan yang amat kejam, hati saya turut sedih. Saya dapat menyelami perasaan penulis yang berjuang untuk bangkit setelah menerima kejutan yang benar-benar menanarkan hati dan jiwa lelakinya. Ilustrasi yang terdapat di novel ini juga banyak membantu untuk memainkan peranan kepada pembaca untuk benar-benar menjiwai dan memahami situasi yang sedang melanda penulis ketika itu. Sebagai seorang wanita, setelah membaca novel grafik ini, saya menjadi lebih memahami hati seorang lelaki. Lelaki sebenarnya suka memendam rasa. Lelaki sering menyembunyikan tangisannya. Lelaki sangat baik jika wanita tahu menghargai mereka tetapi lelaki boleh bertukar menjadi hati batu setelah mereka sedar yang mereka telah tertipu. Walaupun lelaki seorang yang gagah secara fizikalnya tetapi mereka juga memerlukan sokongan dan dorongan dari wanita.

Buku ini ditulis dengan jiwa sehingga cerita yang disampaikan berjaya meninggalkan kesan di hati pembaca. Kisah cinta tanpa luahan yang paling jujur pernah saya baca. Mungkin inilah tujuan buku ini ditulis, untuk mengungkapkan rahsia hati kepada si 'dia' yang masih tidak tahu apa yang terbuku di hati penulis. Mungkin juga buku ini ditulis untuk si 'dia' yang masih beraja di hati penulis. Saya pasti akan ada sambungan kisah selanjutnya di masa hadapan.

Keseluruhan buku ini dipersembahkan dengan baik, namun jika penulis menukarkan warna hitam ke warna putih di setiap latar warna belakang sama ada pada catatan cerita dan dialog, ia akan menjadikan mata pembaca tidak mudah letih. Mengikut pengalaman saya yang suka membaca, saya lebih suka membaca tulisan yang berlatar warna putih pada tulisannya. Ilustrasi pula cukup cantik berlatarkan warna hitam kerana lukisan itu akan nampak lebih terserlah seperti yang ada sekarang.

Apa-apa pun, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Dr Shah Ibrahim kerana sudi berkongsi cerita dan rasa hingga terhasilnya karya dan buku yang saya anggap empat dalam satu ini ( Novel, Komik, Autobiografi & Travelog ). Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan penulis untuk menghasilkan karya seterusnya.




'ALANGKAH INDAHNYA TATKALA AKAL DIPENUHI ILMU MANAKALA HATI TERISI KASIH SAYANG' - DR SHAH IBRAHIM










3 comments:

  1. kat mana nak dapatkan buku ni ye?
    n keluaran apa?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Buku ini boleh dibeli secara online dengan mengelik link yang telah saya sediakan di atas atau terus layari link di bawah :)

      http://mrflowermanstudio.com/Gallery/?page_id=464

      Delete
  2. Dear Cik Mina
    Sebagai peminat buku cerita berbentuk travelog, ribuan terima kasih diucapkan kerana banyak membuat ulasan tentang buku bercorak tersebut.
    Sehingga kini hampir separuh buku yg saya beli berdasarkan ulasan dari Cik Mina.Ini termasuk lah buku Catatan Pengembaraan Flowerman ni yg saya terima semalam.
    Sekian terima kasih.

    ReplyDelete