Friday, February 22, 2013

PERMATA DI PINTU KAABAH - MUNIR RAMLI



Buku Terbaru



Buku Pertama



Assalamualaikum WBT

Mesir merupakan salah satu bumi anbiya yang banyak melahirkan tokoh-tokoh serta ilmuan Islam di dunia. Nama-nama besar seperti Yusuf Al-Qardawi, Muhammad Sayyid Thanthawi dan Al-Mundziri pastinya menjadi sebutan di bibir-bibir para pelajar yang dahagakan ilmu. Universiti Al-Azhar pula menjadi lambang kemegahan Mesir, sebagai pusat penyebaran ilmu ke serata dunia.

Makkah pula tempat berkumpulnya seluruh umat Islam. Selain dikenali sebagai tempat lahirnya Nabi Muhammad, kiblat yang diarahkan ke sana juga menjadi tanda betapa pentingnya kota suci ini di sisi agama. Setiap tahun, lebih 15 juta manusia akan berada di dalam kota suci ini terutamanya pada musim haji demi memenuhi tuntutan rukun Islam kelima.

Selepas menawan Damascus, penulis meneruskan kembara ke Mesir dan Makkah demi mencari 'nilam' dan 'mutiara' buat bekalan hidup pada masa hadapan. Ilmu-ilmu ini diperlukan bagi menjamin kehidupan yang terbaik dunia dan akhirat. 

Permata Di Pintu Kaabah adalah sambungan dari buku travelog Rindu Eropah Tawan Damascus. Pembaca yang telah membaca buku pertama tulisan Munir Ramli, pastinya akan menunggu buah tangan kedua penulis ini untuk mengikuti sambungan rentetan pengembaraan penulis yang telah menakluk Mesir dan Makkah. 

Kepada pembaca yang belum memiliki buku Permata Di Pintu Kaabah ini, saya sarankan agar anda bersegera mendapatkan kedua-dua naskhah buku ini kerana coretan pengalaman penulis yang terakam di dalam kedua-dua buku ini amat berharga untuk dijadikan penguat semangat dalam kita menjalani kehidupan seharian. Jangan lupa membaca Rindu Eropah Tawan Damascus dahulu, sebelum anda membaca buku Permata Di Pintu Kaabah. 



KOMEN SAYA

Untuk pengetahuan semua, saya memang menunggu kemunculan buku travelog ini. Permata Di Pintu Kaabah lahir setelah Rindu Eropah Tawan Damascus bertakhta di hati pembaca. Tahniah diucapkan kepada Tuan Munir Ramli di atas semangat beliau yang jitu hingga berjaya menulis buku kedua ini demi untuk berkongsi pengalaman dengan pembaca. Kita beruntung kerana mempunyai seorang pengembara seperti beliau yang sanggup menulis dan mengimbas segala peristiwa yang berlaku disepanjang pengembaraan beliau. Sebagaimana yang kita ketahui, ramai yang boleh mengembara tetapi tidak ramai yang boleh menulis kisah pengembaraan mereka untuk dijadikan buku buat tatapan pembaca. Itulah kelebihan penulis ini yang tidak boleh kita nafikan.

Pertama kali melihat kulit hadapan buku Permata Di Pintu Kaabah ini, hati saya sudah melonjak riang tidak sabar ingin mengikuti kisah sambungan pengembaraan penulis yang dipenuhi cabaran. Gambar peta negara Timur Tengah menjadi hiasan pada kulit hadapan sebagai daya tarikan kepada sesiapa yang melihatnya. Dengan berhati-hati, saya memulakan pengembaraan membedah buku ini untuk membaca bab pertama.

Bab pertama mengisahkan penulis memulakan perjalanannya menuju ke Mesir, lalu transit di Karachi, Pakistan sebelum kapal terbang meneruskan penerbangan dan mendarat di Mesir. Terjadi adegan cemas semasa penulis sedang berada di dalam kapal terbang. Gegaran yang kuat terjadi apabila guruh dan kilat sabung menyabung ketika penerbangan berada tinggi di udara.. 

Di Mesir, penulis bercadang menimba ilmu untuk menambah pengetahuan. Penulis membiayai kehidupan di Mesir dengan wang simpanannya sendiri. Setiap tahun, sebelum tibanya musim haji, penulis akan belayar ke Makkah mencari rezeki untuk bekalan setahun bagi menyara kehidupannya di sana. Begitulah yang dilakukannya saban tahun ke Makkah untuk menjadi pembantu syeikh-syeikh haji yang menguruskan jemaah haji Malaysia. 

Saya kagum melihat ketabahan penulis yang sangat bekerja keras dan sentiasa memanfaatkan ruang dan peluang yang ada untuk mencari ilmu dan menambah pendapatan. Semuanya diceritakan sama ada ketika penulis berada di Mesir dan di Makkah. Semasa di Mesir, penulis berkongsi rasa dengan pembaca tentang kehidupannya yang baru berumahtangga, dibelenggu dengan masalah kewangan yang semakin berkurang. Namun, isteri penulis juga tabah dalam membantu menaiktaraf ekonomi keluarga dengan membuat dan berjualan kuih setiap hari. 

Penulis turut mengisahkan bagaimana peminangannya terhadap seorang gadis ditolak dan bagaimana akhirnya dia bertemu jodoh dengan isterinya Umi Fatimah. Sebagai seorang isteri yang taat, Umi Fatimah telah menjadi peneman dan penguat semangat kepada penulis dalam mengharungi cabaran menjadi pemaustatin sementara di negara orang. Saya turut terharu dengan kebaikan penulis membawa ibu mertuanya menunaikan umrah dan haji walaupun ketika itu simpanan wang ibu mertuanya belum mencukupi.

Semasa tinggal di Makkah, penulis banyak menceritakan pengalamannya bekerja sebagai pembantu syeikh haji. Penulis berjaya menyingkap hal-hal disebalik tabir yang berlaku di penempatan sementara para jemaah haji. Generasi hari ini, mungkin ramai yang tidak tahu akan wujudnya perkhidmatan syeikh-syeikh haji ini. Dengan membaca buku ini, terlalu banyak perkongsian ilmu yang dicurahkan kepada pembaca terutamanya tentang suasana Makkah di musim haji sekitar tahun 80an. 

Penulis juga merupakan seorang pengembara yang serba boleh. Selain berani menjelajah negara orang, penulis juga berani mengambil risiko dan tanggungjawab dalam pekerjaan yang diamanahkan oleh seseorang. Apabila memperihalkan tentang pekerjaan, penulis tidak cerewet. Semasa di Makkah berbagai pekerjaan yang telah beliau lakukan seperti menjadi pembantu sheikh haji, tukang masak, penyelia tapak projek, pemandu, peniaga dan sebagainya. Penulis juga pernah ditipu oleh seorang pengusaha hotel yang tidak melunaskan bayaran beliau yang mengambil upah sebagai tukang masak. Saya turut merasa marah apabila membaca kisah ini. Kisah penjual barangan elektrik iaitu mesin jahit yang penuh dengan tipu muslihat juga menyebalkan hati saya. 

Saya sangat tertarik dengan pengalaman penulis yang berhempas pulas mengikuti pengajian secara halaqah dan berguru dengan ulama-ulama dalam bidang tertentu. Penulis juga sentiasa belajar untuk memantapkan kemahiran beliau dalam berbahasa Arab. Pengalaman penulis yang diberi kepercayaan oleh Syeikh Ahmad untuk menyusun daftar kitab-kitab di perpustakaan rumah Tuan Guru itu, sangat mengujakan hati saya. Terdapat ribuan kitab yang telah penulis catat mengikut abjad dengan menggunakan Bahasa Arab.

Keseluruhan buku ini ditulis dengan begitu baik sekali. Skop penceritaan juga meluas kerana penulis berjaya membawa pembaca melihat sisi kota Makkah dari sudut pandang yang berbeza. Plot disampaikan secara kronologi dan diselitkan juga teknik imbas kembali pada sesetengah kisah untuk menguatkan lagi penceritaan. Menggunakan bahasa yang ringan dan mudah difahami serta menghiburkan. Apabila membaca buku travelog ini, pembaca seakan dipimpin untuk mengikuti penulis ke segenap tempat dan suasana. Setiap peristiwa yang diceritakan, disertakan juga dengan tarikhnya supaya pembaca dapat menyelami suasana ketika itu.

Cuma, dibeberapa tempat masih ada ejaan yang salah. Banyak juga kesalahan yang dapat saya lihat. Pihak editor perlu lebih berhati-hati ketika mengedit buku seperti ini. Jika diperhatikan, buku travelog ini mengandungi cerita yang terlalu panjang di bawah satu bab, sebagai pembaca saya suka jika penulis memecahkan cerita untuk dijadikan bab dibawah tajuk yang lain. Walaubagaimanapun, kelemahan yang ada sangat sedikit dan ianya dapat ditampal dengan kelebihan yang ditonjolkan oleh penulis buku ini. Pada pendapat saya, masih banyak lagi luahan pengalaman terpendam yang masih belum dikeluarkan oleh penulis. Saya anggap kehadiran dua buah buku travelog dari penulis ini sebagai mukadimah kerana masih banyak lagi pengalaman yang ingin penulis kongsikan bersama pembaca di masa hadapan. Tentu sahaja pembaca juga ingin menggali ilmu itu dari penulis. InsyaAllah.

Sebenarnya tiada komen negatif yang ingin saya tulis mengenai buku ini, malah pujian harus diberikan kepada penulis ini kerana telah berjaya menghasilkan buku travelog yang terperinci dengan segala maklumat disamping dipenuhi kisah pengajaran. Terlalu banyak peristiwa yang ingin saya kongsikan dengan pembaca setelah membaca buku travelog ini, namun lebih indah dan elok jika pembaca sekalian dapat membaca dan menghayati sendiri liku-liku pengalaman penulis dalam bertarung untuk mencari ilmu dalam masa yang sama perlu mencari nafkah untuk keperluan diri dan keluarga. Sekali lagi, tahniah buat Tuan Munir Ramli.




SETELAH BANYAK MEMBACA BUKU, SATU HARI  NANTI ANDA PASTI AKAN MENGEMBARA. 















7 comments:

  1. Baru jumpa blog akak. Memang kagum dengan minat akak yang suka membaca dengan himpunan ribuan buku di rumah.

    Boleh tanya tips tak kak, macam mana nak pupuk minta membaca yang mendalam macam nie. Tq jika akk sudi berkongsi.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih kerana sudi singgah ke blog buku yang tidak seberapa ini. Untuk menjawab persoalan yang adik ajukan itu, saya mencadangkan agar adik mendapatkan majalah Farduain edisi 17 kerana di situ ada memuatkan artikel tulisan saya yang bertajuk 'Menyemai Benih Membaca', di majalah Farduain edisi 18 pula memuatkan artikel saya yang bertajuk 'Memupuk Minat Membaca' dan pada edisi ke19 pula memuatkan artikel saya yang bertajuk 'Indahnya Hidup Dengan Membaca'. InsyaAllah, semoga dengan membaca artikel-artikel itu, bisa menaikkan semangat adik untuk beristiqamah dalam membaca.

      Delete
  2. Tahnuah, tak tau pula MM jadi penulis skrg!
    Yg menariknya setiap buku yg saya teringin nak baca, MM dah kupas. Semlm saya belek buku Permata tu, tapi buku Damascus tu dah tak de lah, MM tau nakorder kat mana?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Boleh add di facebook penulis buku ini iaitu Munir Ramli dan beli secara online dengan beliau :)

      Delete
  3. Alhamdulillah...ramai dah wanita melayu jadi penulis sekarang ni...TAHNIAH kak...Kagum lah.. :)

    http://chatchantek.blogspot.com/

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum Puan. Terima kasih kerana membeli buku dari saya tempoh hari. Saya akan cuba mencari majalah Farduain yang ada artikel2 Puan tu. Boleh dijadikan rujukan. Saya gembira dapat mengenali Puan secara lebih akrab. Selama ini saya meninjau blog Puan secara senyap-senyap :)

    ReplyDelete